COVID-19: Kematian global meningkat pertama kali dalam tujuh minggu

Astro Awani
Mac 23, 2021 06:45 MYT
Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pengarah WHO. - Gambar fail
KADAR kematian global mingguan akibat COVID-19, meningkat buat pertama kalinya dalam tempoh tujuh minggu.
Sehubungan itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengulangi desakan supaya negara-negara membangun meningkatkan keupayaan bantuan bagi negara miskin.
"Selepas enam minggu mencatatkan penurunan kes pada Januari dan Februari, kita kembali mencatatkan peningkatan selama empat minggu.
"Dan minggu lalu, angka kematian mencanak naik buat kali pertama dalam tempoh tujuh minggu," kata Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Di peringkat global, katanya, 459 juta dos vaksin sudah diedarkan, tetapi 76 peratus daripadanya hanya berada dalam kalangan 10 negara.
"Kejayaan inisiatif Covax kini dalam risiko, kerana wujud permintaan tinggi di sesetengah negara kaya dan membangun, menyebabkan bekalan vaksin global terjejas," katanya.
Perkara ini didedahkan Tedros ketika sidang video bersama lima pemimpin kanan dunia dan organisasi antarabangsa pada Rabu.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) yang baharu, Ngozi Okonjo-Iweala, mendesak supaya kapasiti pengeluaran vaksin dipertingkatkan menerusi perkongsian teknologi.
"Proses pemulihan pasca COVID-19 tidak boleh meninggalkan sesiapa atau mana-mana negara di belakang.
"Langkah pertama ke arah mencapai matlamat ini ialah, pengedaran vaksin yang pantas di seluruh dunia agar dapat menghapuskan wabak ini.
"Ia mesti merangkumi peningkatan pembuatan global, termasuk di pasaran negara yang sedang membangun dan negara berpendapatan rendah, dengan akses kepada teknologi dan ilmu pengetahuan," katanya.

Very pleased to join @wto's #Aid4Trade Stocktaking Event today on how to address the ongoing economic and health consequences of the #COVID19 pandemic for global trade. #VaccinEquity is the best and fastest way to control the pandemic globally, and to reboot the global economy. pic.twitter.com/842ee7MIeF

— Tedros Adhanom Ghebreyesus (@DrTedros) March 23, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia #WHO #COVID-19 #kesihatan #vaksin #video #AS #Tedros Adhanom Ghebreyesus #WTO #Ngozi Okonjo-Iweala
;