COVID-19: AS keluar garis panduan terhadap individu diberi vaksin penuh
Astro Awani
Mac 8, 2021 06:47 MYT
Mac 8, 2021 06:47 MYT
WASHINGTON: Pasukan petugas khas COVID-19 White House mengeluarkan garis panduan baharu terhadap mereka yang telah diberikan vaksin sepenuhnya.
Bagaimanapun garis panduan itu masih disertai amaran perjalanan.
Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Dr. Rochelle Walensky, berkata, setiap kali terdapat lonjakan perjalanan, kes positif pasti meningkat di negara itu.
“Setiap kali terdapat lonjakan perjalanan rentas negeri, akan berlaku lonjakan kes di negara ini. Kebanyakan varian yang terdapat di sini berasal dari luar negara dan pusat perkhidmatan perjalanan merupakan tempat di mana ramai orang bertembung.
“Ketika ini kami sedang berusaha untuk menyekat perjalanan dan kami berharap garis panduan baharu boleh dibuat berdasarkan maklumat yang diperolehi berkaitan mereka yang telah diberi suntikan vaksin, mungkin berkenaan perjalanan yang mereka boleh lakukan,” jelasnya.
Sebelum ini, pasukan petugas khas itu berkata, rakyat Amerika Syarikat yang diberikan vaksin sepenuhnya boleh berkumpul di tempat tertutup tanpa memakai pelitup muka atau mengamalkan penjarakan fizikal.
Saranan tersebut juga menyatakan mereka yang diberikan vaksin boleh berkumpul di dalam satu rumah bersama golongan yang berisiko rendah.
Ini termasuk mereka yang tidak mempunyai penyakit kronik dan sebagai contoh datuk dan nenek yang melawat anak-anak dan cucu yang sihat.
Garis panduan ini dikeluarkan susulan desakan daripada mereka yang telah diberi suntikan vaksin COVID-19 mengenai kebebasan yang dibenarkan untuk melakukan aktiviti sosial dan perjalanan.
Bagaimanapun pihak CDC mengesyorkan mereka yang diberikan vaksin sepenuhnya masih memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan mengelakkan sertai perhimpunan besar.
Dalam pada itu, CDC menambah individu yang diberikan vaksin COVID-19 dan mempunyai gejala perlu membuat ujian saringan.
Individu yang dianggap telah menerima vaksin sepenuhnya adalah mereka yang menerima dua dos vaksin COVID-19.
Kira-kira 31 juta rakyat Amerika Syarikat atau 9 peratus daripada populasi negara itu telah menerika suntikan vaksin.