COVID-19: Kelonggaran sekatan di Melbourne mulai 22 Okt

Astro Awani
Oktober 17, 2021 07:22 MYT
Orang awam memakai topeng muka ketika berada di tengah bandar bagi mengekang penularan virus COVID-19 di Melbourne, Australia, 16 Julai, 2021. REUTERS
MELBOURNE, di Victoria, Australia, yang merupakan bandar yang melaksanakan perintah sekatan paling lama di dunia akibat pandemik COVID-19, akan menarik semula perintah tersebut Jumaat (22 Okt) ini.
Apabila kesemua sekatan ditarik semula, bandar dengan populasi lima juta penduduk itu telah menempuh enam siri lockdown selama 262 hari, atau hampir sembilan bulan sejak Mac 2020.
Beberapa laporan tempatan dan antarabangsa mendakwa, sekatan yang dikuatkuasakan itu adalah antara yang paling lama di dunia, melebihi 234 hari di Buenos Aires, Argentina.
Walaupun kes masih meningkat di Victoria, namun Melbourne yang kini mencatatkan 70 peratus kadar vaksinasi lengkap bakal menyaksikan kelonggaran sekatan.
Lebih banyak pengoperasian semula bakal dilaksanakan, termasuk pembukaan premis perniagaan, apabila kadar vaksinasi mencapai 80 peratus, dijangka menjelang 5 Nov.
Untuk rekod, pada Ahad, Victoria mencatatkan 1,838 kes baharu dengan tujuh kematian.
Australia yang sebelum ini berjaya mencatatkan sifar kes harian terpaksa berdepan peningkatan semula kes susulan varian Delta yang lebih pantas menular.
Secara keseluruhannya ketika ini, 68 peratus populasi Australia yang layak menerima vaksin sudah melengkapkan dua dos.
#Melbourne #sekatan paling lama #lockdown #vaksin COVID-19
;