COVID-19: Kelonggaran sekatan baharu di UK
Astro Awani
Mac 29, 2021 05:40 MYT
Mac 29, 2021 05:40 MYT
PERDANA Menteri Britain, Boris Johnson mengingatkan rakyatnya agar kekal waspada untuk terus membendung jangkitan COVID-19.
Ini susulan keputusan kerajaan melonggarkan beberapa sekatan utama di England.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan, setakat ini kerajaan belum ada data jelas mengenai keberkesanan vaksin COVID-19 terhadap gelombang jangkitan baharu.
"Ya, anda bertindak betul dengan sentiasa berwaspada. Pengedaran vaksin setakat ini amat mengagumkan dan terima kasih kepada semua yang terlibat.
"Tetapi, kita tidak tahu setakat mana keberkesanan pertahanan kita ketika ini, sejauh mana sistem ketahanan ini terhadap gelombang baharu.
"Dan kita juga telah melihat apa yang berlaku, di negara Eropah lain juga, mengikut sejarah, sekurang-kurangnya akan ada tempoh masa, diikuti dengan gelombang baharu.
"Kerana itu, saya ingin menegaskan berkenaan kepentingan disiplin dan sikap terus berhati-hati, tetapi kita berharap keadaan akan kembali pulih," katanya pada sidang media di London pada Isnin.
Antara kelonggaran yang diumumkan termasuk, had perhimpunan awam di tempat terbuka kepada enam orang.
Walaupun beberapa kelonggaran sekatan diberikan, kebanyakan premis perniagaan tidak penting belum dibenarkan beroperasi.
Ini termasuk, pub, restoran, gimnasium, panggung wayang dan stadium.
Malah, kerajaan menggesa agar rakyatnya meneruskan bekerja dari rumah dan perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan.
#Boris Johnson
#English
#Britain
#London
#England
#Europe
#COVID-19
#rentas negeri
#gelombang baharu
#perhimpunan
#WHO
#vaksin