COVID-19: Kejayaan Jerman tangani gelombang pertama punca kenaikan semula kes

Agensi
Disember 3, 2020 06:00 MYT
Kejayaan negara Jerman dalam menangani gelombang pertama penularan COVID-19 Mac dan April lalu dianggap menjadi punca negara itu gagal menangani gelombang kedua. -Gambar fail
BERLIN: Kejayaan negara Jerman dalam menangani gelombang pertama penularan COVID-19 Mac dan April lalu dianggap menjadi punca negara itu gagal menangani gelombang kedua, kata ketua agensi kesihatan awam Jerman, pada Khamis.
Menurutnya, oleh kerana negara tidak mengalami tekanan yang terlalu teruk akibat penularan COVID-19 berbanding negara-negara seperti Itali, Sepanyol atau United Kingdom (UK), ia menyebabkan rakyat negara itu mengambil mudah potensi virus tersebut, sehingga ada yang meragui kesahihannya.
Perkara itu menyebabkan orang ramai gagal untuk mematuhi peraturan penjarakan fizikal dan kuarantin wajib kerana mereka tidak menganggap pandemik sebagai sesuatu yang serius, sekali gus menyebabkan Jerman kini mengalami peningkatan kes yang mendadak, kata ketua Institut Penyakit Berjangkit Robert Koch (RKI), Lothar Wieler.
“Negara seperti Belgium atau Perancis telah berjaya mengurangkan angka kes jangkitan COVID-19 disebabkan sifat rakyatnya yang patuh kepada perintah kerajaan.
“Pasti apabila terjadinya peningkatan kes dan mereka mula melihat kenalan mereka dijangkiti, baru mereka akan ketahui betapa seriusnya penyakit ini dan betapa tidak inginnya mereka untuk dijangkiti virus, lagi-lagi penyakit yang boleh menyebabkan kesan jangka panjang,” kata Wieler dalam satu sidang media.
Jerman telah merekodkan kes kematian tertinggi pada Rabu sejak permulaan pandemik.
Setakat Khamis, Jerman merekodkan sejumlah 1,106,789 kes positif COVID-19 dan 17,602 kes kematian.
#COVID-19 #kes positif #pandemik #Jerman #Lothar Wieler #gelombang pertama #gelombang kedua
;