COVID-19: Keberkesanan vaksin Pfizer petanda awal kejayaan perang lawan pandemik

Afiezy Azaman
November 10, 2020 11:32 MYT
Ujian fasa ketiga menunjukkan keberkesanan 90 peratus terhadap vaksin dibangunkan Pfizer dan BioNTech.
KUALA LUMPUR: Berita mengenai kejayaan syarikat farmaseutikal Pfizer dan BioNTech membangunkan vaksin COVID-19 yang menunjukkan keberkesanan 90 peratus dalam ujian fasa ketiga membawa harapan baharu di seluruh dunia.
Menurut Reuters, reaksi positif dan bercampur-campur pemimpin negara dunia, para saintis dan pelabur global sekali gus dianggap satu kejayaan awal dalam peperangan melawan pandemik yang telah mengorbankan 1.26 juta penduduk dunia dan menjangkiti 50.76 juta individu setakat 10 Nov, 2020.
Reaksi Pasaran
JPMorgan menjangkakan indeks S&P 500 akan mencapai 4,000 mata pada awal tahun 2021 dan menyatakan vaksin Pfizer COVID-19 sebagai salah satu latar belakang terbaik untuk keuntungan berterusan selama beberapa tahun.
Bakal Presiden Amerika Syarikat
Bakal Presiden Amerika Syarikat yang baharu memenangi Pilihan Raya negara itu, Joe Biden menyatakan kelulusan vaksin perlu mengikut garis panduan berdasarkan sains supaya orang awam akan mempunyai keyakinan ia selamat dan berkesan.
Namun Biden menyatakan negara itu masih akan berdepan musim sejuk yang 'gelap' disebabkan vaksin berkemungkinan tidak akan tersedia sehingga akhir tahun ini.
"Saya berharap anda semua memakai pelitup muka, lakukannya untuk diri dan jiran anda. Memakai pelitup muka bukanlah satu kenyataan politik," katanya.
BACA: COVID-19: Akhirnya, saintis temui vaksin keberkesanan sehingga 90 peratus
Setiausaha Perkhidmatan Kesihatan dan Manusia A.S
Sementara itu, Setiausaha Perkhidmatan Kesihatan dan Manusia A.S, Alex Azar berkata, Pfizer perlu mengumpulkan data mereka dan menyerahkannya kepada Agensi Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan untuk menjalani proses tinjauan bebas di sana.
"Anda perlu memikirkan mengenai tempoh beberapa minggu mengenai pengiriman dan kemudian kajian dibuat oleh FDA mengenai data tersebut.
WHO
Pandangan yang sama turut dilontarkan Pegawai Kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan terdapat banyak lagi kerja perlu diselesaikan kerana itu adalah keputusan sementara namun ia adalah positif yang menjanjikan seluruh dunia dapat bergerak ke hadapan.
Perdana Menteri Britain
Bagi Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, berita itu adalah masih terlalu awal dan memberi amaran untuk tidak bergantung kepada penyelesaian berkenaan.
"Kesalahan besar yang dilakukan adalah memperlahankan tindakan mengekang virus," jelasnya.
Begitu juga dengan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau yang menyatakan harapan agar vaksin COVID-19 dapat diperoleh pada awal tahun hadapan.
Menteri Kesihatan Jerman
Menteri Kesihatan Jerman, Jens Spahn pula berpandangan sekiranya terbukti vaksin Pfazir berkesan, ini akan membawa isyarat yang baik kemungkinan vaksin yang paling pantas dihasilkan dalam sejarah.
Namun Spahn tidak menggariskan tarikh tersedianya vaksin kerana beliau menyatakan pembangunan vaksin kadang-kala terdapat masalah yang boleh menjejaskan perkara tersebut.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia
Dalam pada itu, berita mengenai kejayaan awal Pfizer dilihat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai perkembangan yang signifikan.
Ditanya mengenai pelan komunikasi untuk memberitahu rakyat Malaysia mengenai bagaimana vaksin dibuat, fasa ujian dan laporan, Khairy berkata, beliau memahami mengenai kebimbangan tersebut.
"Malaysia mempunyai skema pendaftaran dan pelesenan yang sangat ketat untuk farmaseutikal di bawah http://npra.gov.my. Kita akan pastikan apa juga vaksin yang kita perolehi selamat dan berkesan tidak kira di mana ia dibuat.
"Kita sedang melakukan perancangan pelan komunikasi sekarang," jelasnya.
Prof. Perubatan di Universiti Oxford
Prof. Perubatan di Universiti Oxford dan sebahagian Pasukan Petugas Khas Vaksin Kerajaan UK, John Bell melahirkan kegembiraan mengenai berita tersebut.
"Namun, pengedarannya akan menjadi sesuatu yang mencabar dan merumitkan tetapi ia boleh diselesaikan," katanya.
Ketua Penyelidikan Imunologi Infeksi Kumpulan Penyelidikan & Vaksin
Dalam pada itu, Ketua Penyelidikan Imunologi Infeksi Kumpulan Penyelidikan dan Vaksin, Universitatsmedizin Berlin, Leif-Erik Sander berkata, secara keseluruhan data pertama dari analisis interim ini harus dinilai dengan sangat positif walaupun terdapat limitasi.
"Sekiranya trend ini berlanjutan, iaitu perlindungan 90 peratus kepada mereka yang divaksinasi ini bererti kecekapan vaksinasi adalah tinggi yang tidak dapat dicapai dengan lambakan vaksin lain yang digunakan secara rutin, seperti melawan influenza.
"Ini mengejutkan kerana saya belum pernah mendapat teknologi mRNA yang diluluskan dalam vaksin sebelum ini. Jadi ini adalah berita positif, walaupun kita masih perlu menunggu perinciannya, terutama mengenai keberkesanan vaksin mengikut usia, tempoh perlindungan dan keselamatan," jelasnya.
Pengurus Portfolio Pasukan Pendapatan Tetap UBP
Pengurus Portfolio Pasukan Pendapatan Tetap UBP, Mohammed Kazmi berkata, berita positif dari Pfizer membawa kepada selangkah lebih dekat kepada kelulusan FDA yang membuatkan pasaran menjadi lebih selesa dengan pemulihan pertumbuhan.
"Sebarang gangguan jangka pendek sekarang akan dilihat bersifat sementara, kerana para pelabur akan mulai menganggap bahawa vaksin akan memberi penyelesaian yang lebih kekal.
"Walaupun kita menjangkakan kadar rendah persekitaran akan kekal dalam jangka menengah susulan kurangnya inflasi global, kita akan dapat melihat kadar pasaran bernafas ketika pertumbuhan untuk tahun 2021 dijangka disemak semula lebih tinggi," kata beliau.
#WHO #Britain #Perdana Menteri #Amerika Syarikat #presiden #COVID-19 #pandemik #Sains #keselamatan #kesihatan #Pfizer #vaksin #BioNTech #pasaran #Joe Biden #Boris Johnson #virus #Khairy Jamaluddin Abu Bakar #program vaksin mRNA
;