COVID-19: Kakitangan makmal Wuhan terima rawatan sebelum wabak bermula - Laporan

Astro Awani
Mei 24, 2021 11:11 MYT
Anggota keselamatan berkawal di luar Institut Virologi Wuhan ketika pasukan dari WHO mengadakan lawatan bagi menyiasat punca tersebarnya COVID-19, di Wuhan, wilayah Hubei, China, 3 Feb, 2021. REUTERS
TIGA penyelidik dari Institut Virologi Wuhan (WIV) mendapatkan rawatan hospital pada November 2019, beberapa bulan sebelum China mendedahkan mengenai wabak COVID-19.
Memetik laporan Wall Street Journal (WSJ) pada Ahad, Reuters melaporkan, perkara itu dinyatakan dalam laporan perisikan Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini tidak didedahkan.
Menurut WSJ, laporan perisikan itu memberikan perincian baru mengenai jumlah penyelidik yang terjejas, tempoh penyakit mereka dan kunjungan mereka ke hospital.
Pendedahan itu sekali gus meningkatkan gesaan supaya siasatan lebih meluas dijalankan mengenai punca virus, yang dikatakan mungkin tersebar akibat kebocoran di makmal WIV.
Laporan itu juga muncul menjelang mesyuarat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi membincangkan fasa siasatan lanjut mengenai asal-usul COVID-19.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS enggan mengulas mengenai laporan WSJ itu tetapi mengatakan pentadbiran Joe Biden tetap mempunyai beberapa persoalan berhubung hari-hari terawal wabak COVID-19 melanda, termasuk asal -usulnya dari China.
Katanya, kerajaan AS bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara-negara anggota lain untuk menyokong penilaian yang didorong oleh pakar mengenai asal-usul wabak itu "yang bebas dari campur tangan atau bermotif politik."
"Kami tidak akan membuat kenyataan yang berprasangka mengenai kajian WHO yang sedang berlangsung ke atas sumber SARS-CoV-2, tetapi kami telah jelaskan bahawa teori yang berwibawa dari segi teknikal harus dikaji secara mendalam oleh pakar antarabangsa," katanya.
Menurut WSJ, pegawai semasa dan bekas pegawai yang tahu tentang risikan mengenai penyelidik makmal itu memberi pelbagai pandangan mengenai kekuatan bukti sokongan laporan tersebut.
Seorang daripada mereka berpandangan, ia memerlukan "siasatan lanjut dan bukti tambahan".
Mac lalu, Amerika Syarikat, Norway, Kanada, Britain dan negara-negara lain menyatakan kebimbangan mengenai kajian asal-usul COVID-19 yang dikendalikan WHO dan meminta penyelidikan lebih lanjut dan akses penuh kepada semua data berkaitan manusia, haiwan dan lain-lain mengenai tahap awal wabak itu.
Washington pula mahu China lebih bekerjasama dan bersikap lebih telus.
Kedutaan Besar China di Washington belum memberi sebarang kenyataan berhubung laporan tersebut.
Pada Ahad, Kementerian Luar China menyatakan pasukan yang diketuai WHO menyimpulkan bahawa kemungkinan berlaku kebocoran makmal adalah sangat tipis, susulan lawatan pihaknya ke WIV pada Februari.
"AS terus-terusan membangkitkan teori kebocoran makmal. Apakah ia benar-benar prihatin untuk mencari punca wabak atau hendak cuba mengalih perhatian?" kata kementerian itu.
Pentadbiran Donald Trump sebelum ini menyatakan pihaknya mengesyaki virus itu mungkin tersebar akibat kebocoran makmal di China.
Perkara itu dinafikan oleh Beijing.
Jabatan Negara AS pada akhir pentadbiran Trump menyatakan "kerajaan AS mempunyai alasan untuk percaya bahawa beberapa orang penyelidik di WIV jatuh sakit pada musim luruh 2019, dengan simptom yang sama seperti COVID-19 dan penyakit bermusim, sebelum kes pertama wabak COVID-19 dikenal pasti."
Pada Februari, Reuters melaporkan, China enggan memberikan data awal mengenai COVID-19 kepada pasukan di bawah WHO, sehingga menyulitkan usaha untuk memahami bagaimana wabak itu bermula.
#Wall Street Journal #WHO #China #Beijing #Britain #Amerika Syarikat #COVID-19 #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #siasatan #Institut Virologi Wuhan #WIV #Donald Trump #Washington #kesihatan #keselamatan #Joe Biden #politik #Wuhan Institute of Virology
;