COVID-19: Kajian dakwa bisa ular mungkin jadi penghalang pembiakan virus

Agensi
September 1, 2021 13:00 MYT
Molekul dari bisa ular kapak jenis 'jararacussu pit' itu mampu mengekang pembiakan virus tersebut sebanyak 75 peratus di dalam monyet. - Sumber foto VGA
KUALA LUMPUR: Sekumpulan penyelidik dari Brazil mendapati molekul dalam bisa sejenis ular berbisa (Brazilian Viper) yang dipercayai mampu menyekat pembiakan koronavirus dalam sel monyet.
Ia dilihat sebagai langkah awal dalam penghasilan ubat untuk mengekang virus yang menjadi punca COVID-19.
Menerusi satu kajian yang diterbitkan di jurnal saintifik, Molecules bulan lalu, ia melaporkan molekul dari bisa ular kapak jenis 'jararacussu pit' itu mampu mengekang pembiakan virus tersebut sebanyak 75 peratus di dalam monyet.
"Kami mendapati komponen di dalam bisa ular itu mampu menyekat pembiakan protein penting di dalam virus itu," kata Profesor Rafael Guideo dari University of Sao Paulo, yang juga bertanggungjawab menulis tentang kajian berkenaan.
Molekul itu merupakan peptida atau rantaian amino asid, yang boleh saling berkait dengan enzim koronavirus yang disebut PLPro, yang penting dalam pembiakan virus tanpa menjejaskan sel lain.
Dalam satu temu bual, Guido berkata peptida dapat disintesis di makmal sekali gus tiada keperluan untuk menangkap atau membiakkan ular berkenaan.
"Kami khuatir orang ramai akan memburu ular spesies ini sekitar Brazil, dengan tanggapan bahawa mereka akan selamatkan dunia. Tidak!" kata pakar herpetologi dari Butantan Institute di Sao Paulo, Giuseppe Puorto.
"Bukan bisa itu sendiri yang akan memulihkan koronavirus," katanya.
Para pengkaji masih perlu menilai keberkesanan pelbagai dos molekul dan sama ada ia mampu menyekat virus itu dari memasuki sel.
Mereka juga akan menjalankan ujian ke atas sell manusia, namun belum menetapkan sebarang tempoh masa.
Ular kapak jenis 'jararacussu pit' merupakan ular terbesar di Brazil, dengan kepanjangan sehingga dua meter.
Ia boleh dijumpai di kawasan pantai Atlantic Forest dan boleh dijumpai di Bolivia, Paraguay dan Argentina.
#koronavirus #COVID-19 #bisa ular #Brazil
;