COVID-19: Jururawat pura-pura suntik vaksin ditahan
Astro Awani
Januari 15, 2022 05:36 MYT
Januari 15, 2022 05:36 MYT
PALERMO: Seorang jururawat ditahan di Palermo pada Sabtu kerana didakwa berpura-pura menyuntik vaksin COVID-19 kepada pasangan suami isteri.
Wanita tersebut yang bertugas di pusat vaksinasi di bandar Sicily, Itali juga ditahan atas kesalahan mengeluarkan sijil vaksin palsu dan membazir bekalan vaksin.
Ia susulan siasatan yang dibuat pihak polis Itali pada Disember lalu, yang turut menyebabkan seorang lagi jururawat di tempat sama ditahan.
Pada masa sama, pihak berkuasa meneruskan siasatan bagi mengesan lebih ramai jururawat yang mungkin melakukan kegiatan tidak bertanggungjawab itu.
Tahanan pada Sabtu itu berlaku hanya beberapa hari selepas seorang jururawat lelaki ditangkap di bandar Ancona di Itali.
Dia dituduh berpura-pura menyuntik vaksin kepada sekurang-kurangnya 50 individu dan menerima rasuah.
Kerajaan Itali pada Isnin akan mula menghadkan aktiviti sosial bagi mereka yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19.