COVID-19: Jumlah tempahan keranda di Jakarta meningkat tiga kali ganda
Astro Awani
Julai 6, 2021 07:49 MYT
Julai 6, 2021 07:49 MYT
JUMLAH keranda yang ditempah di Jakarta, Indonesia, meningkat tiga kali ganda sehari akibat lonjakan kes COVID-19.
Perkara itu dinyatakan pembuat keranda, Olaskar Purba, yang bekerja di sebuah bengkel yang terletak di satu tanah perkuburan di Jakarta.
Katanya, sebelum kes COVID-19 meningkat, dia dan pasukannya hanya menghasilkan 10 keranda dalam satu hari.
Namun kini, angka itu melonjak mencapai 30 pesanan setiap hari.
Katanya, bahan-bahan untuk membuat keranda semakin sukar dicari kerana harga papan lapis juga meningkat.
Olaskar berkata, dia semakin sibuk akibat daripada pesanan keranda yang semakin meningkat dan tidak berkesudahan.
Dia juga melahirkan kebimbangan kerana ramai individu yang telah meninggal dunia dan menggesa orang ramai mematuhi arahan kerajaan dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.
Indonesia kini berdepan lonjakan kes ketara dan terburuk di Asia didorong penularan pesat varian Delta yang pertama kali dikesan di India.
Pihak berkuasa pada Isnin melaporkan 557 kematian baharu dengan 29,745 kes jangkitan.
Sekatan lebih ketat dilakukan di Jawa dan Bali yang merupakan wilayah paling teruk terjejas kerana jangkitan COVID-19.
Kerajaan pada Isnin menyatakan akan mempeerkenalkan langkah-langkah baharu dalam usaha menangani lonjakan kes.