COVID-19: Jumlah jemaah dikurangkan, khutbah dipendekkan di Singapura
Nursyazwani Saiful Sham
Mac 12, 2020 21:20 MYT
Mac 12, 2020 21:20 MYT
Bagi memerangi penularan wabak COVID-19 di Singapura, jumlah jemaah di masjid akan dikurangkan dan khutbah akan dipendekkan.
Itu jelas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong selepas negara itu mencatatkan dua kes terbaharu positif COVID-19 yang melibatkan peserta perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Kita harus berwaspada sebelum menghadiri sebarang perhimpunan, termasuk perhimpunan agama. Kita sudah ada dua kes yang melibatkan peserta perhimpunan tabligh yang besar baru-baru ini, di Kuala Lumpur.
"Pada masa genting sekarang ini, saya harap anda faham dan sokong langkah-langkah praktikal untuk mengurangkan jumlah jemaah atau memendekkan khutbah demi menjaga keselamatan para jemaah," katanya menerusi ucaptama yang disiarkan menerusi YouTube Pejabat Perdana Menteri Singapura pada Khamis.
"Dari segi ekonomi, saya tahu sektor perniagaan kita terjejas teruk. Semua pihak terjejas lebih-lebih lagi syarikat kecil dan sederhana, mereka yang bekerja sendiri dan pekerja dalam ekonomi gig.
"Dalam belanjawan lalu, kami sudahpun umumkan pakej-pakej bantuan bernilai berbilion dolar. Tetapi saya dan rakan-rakan Kabinet, sedang membincangkan apa lagi yang perlu dilakukan oleh pemerintah untuk menolong rakyat Singapura.," ujarnya.
Justeru, Lee memohon agar semua rakyat Singapura untuk terus bersama memerangi COVID-19 dengan menyokong para petugas kesihatan dan menjaga kebersihan.
Setakat Khamis, Singapura mencatatkan 187 kes positif COVID-19 dengan 96 kes sudah pulih dan dibenarkan pulang.