COVID-19: Jokowi dahului vaksinasi besar-besaran Indonesia bermula 13 Jan
Agensi
Januari 5, 2021 19:09 MYT
Januari 5, 2021 19:09 MYT
JAKARTA: Rakyat Indonesia bakal menerima dos pertama COVID-19 pada 13 Januari depan dengan Presiden Joko Widodo bakal menjadi orang pertama mendapatkan suntikan itu.
Laporan Reuters yang memetik Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin berkata, program inokulasi Indonesia itu akan dimulakan di Jakarta dan diikuti wilayah-wilayah lain dua hari kemudian.
Pengumuman itu dibuat ketika Agensi Pemantau Makanan dan Ubat-Ubatan (BPOM) republik itu masih belum memberikan kelulusan penggunaan kecemasan vaksin itu.
Selepas barisan hadapan, wakil masyarakat dan tentera pula akan menerima suntikan itu bagi membina keyakinan terhadap vaksin itu dengan ia akan disiarkan untuk disaksikan orang ramai.
Sebelum ini, kerajaan Indonesia memaklumkan kira-kira 1.3 juta barisan hadapan akan diberi vaksin COVID-19 secara percuma.
Pengeluar vaksin Sinovac Biotech Ltd dari China dilaporkan telah menghantar tiga juta dos vaksin COVID-19 ke republik itu.
China ketika ini berdepan kesukaran untuk mendapat kepercayaan global terhadap vaksin dibangunkan negara itu.
Kini, kerajaan menunggu pihak berkuasa makanan dan ubat tempatan membenarkan penggunaan darurat bagi program inokulasi penduduknya dengan sasaran hampir 181.5 juta orang atau 67 peratus daripada populasinya, menjelang Mac depan.
Joko Widodo atau Jokowi bagaimanapun dilaporkan meminta Kabinet untuk memendekkan jangka masa.
Bio Farma mengagih 760,000 dos Sinovac ke 34 wilayah di seluruh kepulauan terbesar di dunia itu.
Agensi pengawasan kesihatan Brazil sebelum ini menangguhkan ujian klinikal vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh China selepas berlaku insiden membabitkan seorang sukarelawan.
#vaksin
#Indonesia
#Joko Widodo
#kementerian kesihatan indonesia
#Sinovac Biotech Ltd
#kabinet
#COVID-19
#Agensi Pemantau Makanan dan Ubat-Ubatan