COVID-19: Jerman bakal kenakan peraturan baharu

Astro Awani
November 19, 2021 09:06 MYT
Merkel sifatkan, situasi dramatik COVID-19 di Jerman membuatkan satu tindakan pantas perlu diambil bagi mengawal penularannya. - Foto fail/REUTERS
BERLIN: Jerman meluluskan peraturan baharu di negara itu bagi menangani kenaikan mendadak kes jangkitan baharu COVID-19.
Peraturan baharu itu akan dibawa ke Parlimen untuk diluluskan hari ini.
Perkara berkenaan diumumkan Canselor Jerman, Angela Merkel
Beliau sifatkan, situasi dramatik COVID-19 di Jerman membuatkan satu tindakan pantas perlu diambil bagi mengawal penularannya.
"Situasi pandemik di negara ini amat dramatik sekali, adalah penting untuk satu tindakan pantas diambil, secara konsisten supaya kaedah pengawal dapat dilakukan dengan sewajarnya.
"Kita akan memantau sama ada kita boleh menghentikan atau sekurang-kurannya mengurangkan kadar penularan.
"Dengan perkembangan terbaharu, kita memasuki era atau situasi yang sukar, lebih-lebih lagi kepada mereka yang bekerja di hospital, khususnya di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.
Pada masa sama, beliau menganggap peraturan baharu itu adalah satu ketetapan yang sangat sukar untuk diambil.
Dewan Rendah Jerman sebelum ini meluluskan peraturan itu dalam usaha kerajaan cuba mengurangkan bilangan jangkitan baharu COVID-19 di negara itu.
Ia bagaimanapun, perlu diluluskan di Dewan Tinggi atau Parlimen Jerman sebelum dikuatkuasakan.
Antara peraturan baharu itu termasuk mewajibkan petugas membuktikan mereka sudah lengkap divaksin atau diuji negatif virus itu sebelum menggunakan sebarang pengangkutan awam untuk ke tempat kerja.
Peraturan yang sama terpakai kepada kesemua pengguna pengangkutan awam di Jerman.
#COVID-19 #peraturan baharu #Angela Merkel #situasi dramatik
;