COVID-19: Jepun batal upacara hari peringatan gempa bumi dan tsunami 2011
Isabelle Leong
Mac 6, 2020 16:07 MYT
Mac 6, 2020 16:07 MYT
Kerajaan Jepun membatalkan upacara hari memperingati gempa bumi dan tsunami 2011 susulan penularan wabak COVID-19.
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga berkata keputusan tersebut diambil selepas mempertimbangkan langkah-langkah lain bagi mencegah penyebaran wabak berkenaan.
“Dalam mesyuarat Kabinet hari ini, kami membuat keputusan bahawa Hari Peringatan Great East Japan Earthquake akan dibatalkan.
“Sehingga saat terakhir, kami cuba untuk mencari langkah lain seperti mengecilkan skala majlis untuk mengelakkan penularan wabak itu.
“Bagaimanapun, kami perlu mengambil semua langkah untuk mengelakkan penyebaran wabak itu di Jepun. Oleh itu, kami kesal untuk membatalkan majlis itu,” katanya dalam satu sidang media pada Jumaat.
Untuk rekod, hari peringatan seumpamanya tidak pernah dibatalkan sebelum ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Jepun, Abe Shinzo mengumumkan Jepun akan mengambil langkah mengkuarantin semua pelancong dari China dan Korea Selatan untuk tempoh 14 hari sebelum dibenarkan masuk ke negara matahari terbit itu.
Pelancong dari negara-negara berkenaan akan dihantar ke fasiliti kerajaan untuk menjalani pemeriksaan kuarantin.
Mereka juga perlu menggunakan pengangkutan khas untuk dibawa ke lokasi pemeriksaan dan tidak akan dibenarkan menggunakan pengangkutan awam.
Katanya, langkah tersebut diambil bagi meningkatkan keselamatan rakyat daripada terkena jangkitan COVID-19.
#China
#COVID-19
#Hari Peringatan Great East Japan Earthquake
#Jepun
#Ketua Setiausaha Kabinet Jepun
#Korea Selatan
#koronavirus
#Yoshihide Suga