COVID-19 jejas bekalan, Singapura yakin elak putus bahan makanan

Razak Chik
Mac 26, 2020 20:44 MYT
Pada masa rantaian perbekalan tergendala, rakyat dinasihat mengambil tindakan penyesuaian dan membuat pelarasan mengambil kira keadaan semasa. - Gambar fail/REUTERS/Edgar Su
Warga Singapura diberi jaminan republik itu ada perancangan elak keputusan bekalan asas dan makanan utama sepanjang pandemik COVID-19 melanda.
Pada masa rantaian perbekalan tergendala, rakyat dinasihat mengambil tindakan penyesuaian dan membuat pelarasan mengambil kira keadaan semasa.
Nasihat agar bersabar dibuat Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Chan Chun Sing dalam satu siaran khas melalui Saluran 5 television Singapura pada Khamis.
Bekalan bahan keperluan tergendala tatkala satu Malaysia sudah seminggu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order).
Menurut Chan, Singapura mampu mengharungi cabaran ini kerana sudah bersedia dengan persiapan rapi membina stok simpanan barangan makanan dan keperluan di masa lampau.
“Bekalan sayur dan telur mungkin sedikit tergendala buat sementara waktu, tetapi kita sudah bersedia dengan sumber pembekal yang lain dan kesannya tidak akan begitu ketara,” lapor Channel News Asia.
Chan menambah, pengguna perlu merubah selera sedikit – makan sayur sayuran sejuk-beku atau yang tersedia dalam tin sepanjang bekalan bahan segar tergendala.
Untuk makanan dalam kategori karbohidrat dan protin, Chan memberi jaminan bekalan mencukupi untuk satu jangkamasa yang memadai.
Chan juga menegur sikap 'kiasu' warga Singapura yang tidak berlengah-lengah terus membeli sampai licin rak di pasaraya – bukan hanya di Singapura tetapi juga di Malaysia.
Sebelum ini, Chan melalui laman Facebook berkongsi strategi stok simpanan Singapura.
Menurutnya, langkah pertama adalah menentukan simpanan yang cukup untuk jangka waktu yang tertentu.
Kedua; mempelbagai sumber, ketiga; membina kapasiti wujud bekalan dalam negara mengguna teknologi pertanian terkini dan keempat; menjalin hubungan dua-hala serantau yang kukuh.
Selain makanan, Chan turut memberi jaminan bekalan peralatan dan perubatan yang amat diperlukan sewaktu darurat pandemik COVID-juga mencukupi.
#Chan Chun Sing #coronavirus #COVID-19 #COVID19 #Facebook #koronavirus #Malaysia #Menteri Perdagangan dan Industri Singapura #perubatan #Singapura #Singapura 700 sq ft
;