COVID-19: Jawatankuasa pakar Singapura syor liputan vaksin tahap maksimum
Astro Awani
Disember 27, 2020 07:23 MYT
Disember 27, 2020 07:23 MYT
SEBUAH jawatankuasa pakar di Singapura mengesyorkan semua warganegara yang layak dari segi perubatan untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19 walaupun ia harus dikekalkan kepada pilihan sukarela.
Saranan itu dibuat ketika Singapura dilihat berjaya dalam mengendalikan virus tersebut, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada terdapat keperluan mengambil suntikan vaksin.
Negara itu kini melaporkan hampir tiada langsung kes tempatan baharu selama beberapa minggu kebelakangan ini.
Jawatankuasa itu, yang bermesyuarat pada Oktober, mengesyorkan tahap liputan populasi setinggi mungkin bagi mengurangkan risiko terhadap golongan rentan dan mengawal penularan, menurut satu kenyataan pada Ahad.
Singapura meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech dengan penghantaran pertama vaksin itu tiba pada 21 Disember lalu.
Singapura telah menandatangani perjanjian pembelian lanjutan dan membuat pembayaran awal untuk beberapa calon vaksin, termasuk yang dibangunkan oleh Moderna dan Sinovac.
Negara itu menjangkakan akan mempunyai cukup vaksin untuk semua 5.7 juta orang pada suku ketiga 2021.
Kerajaan berkata, vaksin akan diberikan secara percuma, sukarela, dengan keutamaan diberikan kepada pekerja kesihatan dan warga tua.
Pada Ahad, Kementerian Kesihatan negara itu menyatakan, vaksinasi untuk pekerja kesihatan akan bermula pada 30 Disember manakala vaksinasi warga emas, bermula dengan mereka yang berumur 70 tahun ke atas, mulai Februari.
Pada Isnin, republik itu akan memasuki fasa ketiga pembukaan semula susulan COVID-19 dengan menghapuskan lebih banyak sekatan, termasuk membolehkan lapan orang berkumpul di tempat awam dan meningkatkan kapasiti untuk pertemuan mega.
"Walaupun jumlah kes semasa dalam kalangan masyarakat masih rendah, risiko lebih banyak kes import COVID-19 dan penyebaran, akan meningkat ketika kita memasuki fasa ketiga dan memandangkan keadaan global COVID-19 ketika ini," kata kementerian.
#Kementerian Kesihatan
#Singapura
#kerajaan
#warga emas
#perubatan
#COVID-19
#kesihatan
#vaksin
#liputan
#penularan
#populasi
#suntikan
#Pfizer-BioNTech
#jawatankuasa pakar
#penghantaran pertama
#fasa ketiga
#pembukaan semula