COVID-19: Jarak 12 minggu antara dua dos terlalu panjang - Doktor UK

Astro Awani
Januari 23, 2021 07:19 MYT
Pada masa ini, mereka yang tinggal di Britain dan layak mendapat vaksin menerima dos kedua mereka 12 minggu selepas yang pertama. - REUTERS
PENGERUSI Pertubuhan Perubatan Britain (BMA) Dr Chaand Nagpaul menggesa kerajaan United Kingdom (UK) untuk memendekkan jarak antara pengambilan dua dos vaksin Pfizer.
Pada masa ini, mereka yang tinggal di Britain dan layak mendapat vaksin menerima dos kedua mereka 12 minggu selepas yang pertama.
BMA menyatakan tiada justifikasi saintifik untuk jurang itu.
"Tiada negara lain dalam dunia ini yang mengamalkan jarak 12 minggu seperti di UK ini," katanya kepada stesen televisyen Sky News.
Katanya, malah Pfizer sendiri mengesyorkan selang tiga hingga empat minggu sahaja.
WHO mengatakan jarak masa itu tidak sepatutnya lebih dari enam minggu, dan pengecualian untuk selang masa yang lebih panjang hanya boleh dibuat dalam kes luar biasa.
"Sekiranya anda memberikan dos kedua pada enam minggu, dan bukannya 12 minggu, anda menyelesaikan semua janji temu tersebut dalam masa 12 minggu, jadi, lebih banyak orang dapat memperolehinya," kata Nagpaul.
Kesihatan Awam England mendakwa jurang masa itu akan membolehkan sebanyak mungkin orang mendapatkan sekurang-kurangnya sedikit perlindungan.
#WHO #Britain #vaksin #COVID-19 #Pfizer #AstraZeneca
;