COVID-19: Jangan terlalu selesa walau perintah berkurung dilonggarkan - Modi
Astro Awani
April 26, 2020 07:44 MYT
April 26, 2020 07:44 MYT
Rakyat India disarankan untuk terus berwaspada dan tidak menjadi terlalu selesa dalam mendepani epidemik COVID-19, walaupun perintah berkurung di negara itu kini dilonggarkan.
Tegas perdana menteri Narendra Modi pada Ahad, rakyat perlu mengamalkan normal baharu dengan mempraktikkan penjarakan sosial dan memakai topeng muka.
“Tidak patut ada kecuaian pada mana-mana tahap, hanya kerana rasa terlalu yakin.
"Kita perlu bertindak dengan berjaga-jaga untuk tempoh masa yang berpanjangan. Saya ingin tegaskan lagi, tolong jarakkan sejauh dua ela antara anda dan pastikan kesihatan terjaga.
“Topeng muka ini akan menjadi simbol masyarakat yang bertauladan. Jika anda ingin melindungi diri daripada penyakit dan melindungi orang lain daripada penyakit, anda perlu memakai topeng muka,” katanya.
India telah mengurangkan langkah untuk mengekang penularan COVID-19 dengan membuka kedai kecil, sektor pembuatan dan aktiviti pertanian di luar bandar.
Modi meletakkan India di bawah perintah berkurung dari 25 Mac sehingga 3 Mei untuk mengekang penyebaran jangkitan COVID-19.
Dalam masa yang sama, Modi berkata beliau akan membantu menyalurkan bekalan perubatan ke negara lain atas dasar 'keperluan kemanusiaan'.
Setakat ini, India merekodkan lebih 25,000 kes positif dengan 824 kematian akibat virus itu.