COVID-19: Jangan ambil mudah sungguhpun vaksin tersedia - PM UK

Astro Awani
November 26, 2020 07:10 MYT
JOHNSON: Sekiranya kita mengambil mudah sekarang, kita berisiko untuk hilang kawalan penularan ini dan memaksa kita menjalankan sekatan yang lebih ketat. (Foto AP/Fail)
PERDANA Menteri United Kingdom Boris Johnson menasihati rakyatnya untuk tidak mengambil mudah mengenai COVID-19 biarpun banyak laporan positif berkenaan vaksin pandemik itu kini.
Tegasnya, ini bukan masa untuk berhenti melawan COVID-19.
Beliau membuat kenyataan berkenaan selepas mengumumkan peringkat baru sekatan di bandar dan wilayah di UK berkuatkuasa 2 Disember ini.
Ia selepas Johnson mengumumkan beberapa kelonggaran bagi tiga peringkat untuk wilayahnya selepas sekatan yang berakhir 2 Disember ini.
“Kita berharap sesudah musim luruh, pembangunan vaksin akan menamatkan segala sekatan. Sekarang, kita mesti mengharungi musim sejuk ini, yang dijangka membebankan lagi perkhidmatan kesihatan UK.
“Data menunjukkan, langkah-langkah yang diambil ini berjaya mengurangkan penularan jangkitan. Bersama-sama kita mencegah supaya perkhidmatan kesihatan kita tidak terbeban.
“Sekiranya kita mengambil mudah sekarang, kita berisiko untuk hilang kawalan penularan ini dan memaksa kita menjalankan sekatan yang lebih ketat,” jelasnya.
Kebanyakan kawasan di UK akan menyaksikan sekatan diteruskan pada peringkat sederhana.
Ini bermakna kedai dan restoran boleh dibuka dengan beberapa sekatan.
Kerajaan UK menjalankan sekatan empat minggu di England awal bulan ini untuk membendung peningkatan kes ketika musim luruh.
Menteri Kesihatan UK melaporkan kadar jangkitan menurun namun negara berkenaan harus kekal berhati hati.
#England #United Kingdom #pandemik #Boris Johnson #COVID-19 #sekatan #kelonggaran #penularan #risiko #vaksin #musim luruh #musim sejuk #hilang kawalan #jangkitan
;