COVID-19: Islamabad laksana perintah berkurung berskala kecil
Khairunnisa Kasnoon
November 10, 2020 04:39 MYT
November 10, 2020 04:39 MYT
PIHAK berkuasa Islamabad melaksanakan perintah berkurung berskala kecil di beberapa kawasan panas yang berisiko di bandar itu bagi membendung penularan COVID-19.
Perintah itu akan berlanjutan sehingga terdapat penurunan dalam kes jangkitan.
"Kami takut, tidak boleh keluar dari rumah, jika kami keluar untuk membeli sesuatu, kami akan menjaga SOP. Saya menyimpan semburan pembasmi kuman di dalam kereta saya," kata Sardar Shiraz, seorang penduduk tempatan di Islamabad.
Perintah berkurung berskala kecil itu juga dilaksanakan di kawasan panas di bandar-bandar utama Pakistan, termasuk bandar pelabuhan selatan Karachi, bandar timur Lahore dan Rawalpindi.
Bagaimanapun, orang ramai masih mengabaikan peraturan jarak sosial, walaupun pihak berkuasa mengenakan denda terhadap mereka yang ingkar.
Perintah tersebut berkuat kuasa beberapa jam selepas Pakistan melaporkan 1,637 kes baru dan 23 kematian akibat wabak itu pada Selasa.
Sehingga kini, Pakistan mencatatkan 346,476 kes positif dengan 7,000 kematian sejak Februari ketika Pakistan melaporkan jangkitan pertama.