COVID-19: Indonesia, Singapura catat kes baharu, Thailand lanjut larangan sementara penerbangan

Agensi
Jun 30, 2020 20:57 MYT
Perkembangan kes COVID-19 di negara Asia - Indonesia, Singapura dan Thailand
KES positif COVID-19 di Indonesia dalam tempoh 24 jam yang lepas, terus meningkat kepada 56,385 kes, dengan 71 lagi kematian.
Presiden Indonesia Joko Widodo menerusi ciapan di twitter rasminya mengarahkan pemerintah provinsi agar tidak melonggarkan peraturan pembatasan sosial berskala besar (PSBB), sekiranya kes positif virus itu berterusan meningkat.

Pemerintah daerah tidak perlu memaksakan penerapan new normal tanpa melalui tahapan yang benar. Gunakan data sains dan saran para ilmuwan sebagai pertimbangan. Kalau belum waktunya, jangan dipaksakan. Kalau diterapkan, monitor dan evaluasi. Kalau keadaannya naik, ya tutup lagi. pic.twitter.com/8NiXZVoS94

— Joko Widodo (@jokowi) June 30, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Beberapa provinsi termasuk Jakarta, mula menerapkan proses transisi atau pemulihan PSBB, yang membenarkan beberapa aktiviti sosio ekonomi dibuka sejak pertengahan Jun lalu termasuk pembukaan rumah ibadat, kebenaran bekerja di pejabat, pembukaan pusat beli belah dan rekreasi.
Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 893 kes, diikuti provinsi Jakarta (632 kes), Kalimantan Selatan (189), Jawa Barat (176) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.
Singapura catat 246 kes baharu jangkitan
Singapura pula melaporkan 246 kes baharu jangkitan COVID-19 dengan enam kes dalam komuniti, menjadikan jumlahnya 43,907 kes.
Kementerian Kesihatan (MOH) memaklumkan kes komuniti melibatkan tiga rakyat Singapura atau penduduk tetap dan tiga pemegang pas pekerja.
Kes baharu yang lain melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.
Sehingga kini, 26 orang dilaporkan maut makibat komplikasi COVID-19 dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.
CAAT lanjut larangan sementara penerbangan antarabangsa
Sementara itu, Thailand melaporkan dua kes baru COVID-19, yang kembali dari Qatar, meningkatkan jumlah kes menjadi 3,171 kes.
Daripada semua 3,171 kes yang disahkan positif 3,056 pesakit COVID-19 pulih sepenuhnya dan 57 kes dirawat di hospital.
Angka kematian kekal pada 58.
Dalam pada itu, pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) melanjutkan lagi larangan sementara untuk penerbangan antarabangsa.
Bagaimanapun, penerbangan yang membawa 11 kategori pelancong asing dibenarkan masuk ke republik itu bermula Rabu.
Ketua Pengarah CAAT, Chula Sukmanop berkata larangan itu tidak tertakluk kepada pesawat negara atau tentera, pendaratan kecemasan, pendaratan teknikal tanpa menurunkan penumpang, penerbangan kemanusiaan, perubatan atau bantuan, penerbangan membawa pulang warganegara dan penerbangan kargo.
#Asia #COVID-19 #Indonesia #Singapura #Thailand
;