COVID-19: Indonesia mungkin halang rakyat pulang ke kampung sambut Aidifitri

Firdaus Azil
Mac 27, 2020 14:02 MYT
Musim Aidilfitri di Indonesia kali ini dijangka menyaksikan lebih 20 juta penduduk pulang ke kampung halaman. Gambar fail/ Reuters.
KERAJAAN Indonesia mempertimbangkan kemungkinan melarang rakyatnya daripada pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 di republik berkenaan.
Akhbar The Straits Times melaporkan, cadangan itu bagaimanapun masih di peringkat awal dan perlu dibincangkan secara teliti dan menyeluruh kerana ia menjadi isu besar di negara yang mempunyai populasi Muslim terbesar di dunia itu.
Jurucakap Pejabat Menteri Koordinator Bidang Maritim dan Pelaburan, Jodi Mahardi berkata, menterinya Luhur Binsar Pandjaitan akan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan pada Isnin ini dan Kabinet Indonesia akan bermesyuarat pada Jumaat untuk menentukan keputusan akhir.
Dalam kenyataan kepada media Indonesia, Mahardi berkata, tiga senario telah diberikan kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo, iaitu perjalanan pulang berjalan seperti biasa; orang ramai tidak digalakkan pulang seperti biasa; dan terakhir sekali, larangan penuh perjalanan pulang.
Musim perayaan Aidilfitri di Indonesia kali ini dijangka menyaksikan lebih 20 juta penduduk pulang ke kampung halaman masing-masing, yang bakal mengakibatkan kesesakan teruk dari kota besar ke kawasan pedalaman.
Krisis COVID-19 di Indonesia sehingga Khamis (26 Mac) menyaksikan kes positif sebanyak 893, dan 78 kematian, namun pakar menjangkakan angka itu akan meningkat secara mendadak dalam masa terdekat.
Kenyataan itu turut menyebut Ketua Pengarah Pengangkutan Udara Indonesia akan mengurangkan kuota penumpang penerbangan sebanyak 50 peratus, selain mengenakan sekatan untuk kenderaan keluar dari Jakarta, yang dikatakan pusat penularan wabak COVID-19.
#Aidilfitri #Indonesia #isu besar #Joko Widodo #koronavirus #larangan pulang ke kampung #populasi muslim terbesar #presiden
;