COVID-19: Indonesia mula benarkan beberapa aktiviti sosioekonomi
Bernama
Julai 26, 2021 17:21 MYT
Julai 26, 2021 17:21 MYT
JAKARTA: Indonesia mula membenarkan beberapa aktiviti sosioekonomi walaupun tempoh perlaksanaan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) dilanjutkan dan kes kematian harian akibat COVID-19 melebihi angka seribu.
Bermula hari ini, pemerintah Indonesia membenarkan pasar, peniaga kecil, bengkel kenderaan, kedai gunting rambut dan pengusaha kecil yang lain kembali beroperasi sehingga pukul 9 malam dengan protokol kesihatan yang ketat.
Orang ramai juga kembali dibenarkan makan di warung, kedai makan atau restoran tetapi hanya dalam tempoh (dine-in) 20 minit sahaja.
"Dengan mempertimbangkan aspek kesihatan, aspek ekonomi dan dinamika sosial, saya memutuskan untuk melanjutkan penerapan PPKM dari tanggal 26 Julai sehingga 2 Ogos 2021," kata Presiden Joko Widodo dalam siaran menerusi YouTube Sekretariat Presiden.
PPKM darurat sebelum ini dikuatkuasakan sejak 3 Julai lepas sehingga 25 Julai, sebelum dilanjutkan sehingga semalam dengan membataskan banyak kegiatan sosio ekonomi.
Menurut data yang disiarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia setakat semalam, sebanyak 1,266 kematian harian direkodkan, menjadikan jumlah kematian keseluruhan akibat virus itu kini meningkat kepada 83,279 orang.
Kes positif keseluruhan di republik itu kini melebihi 3.1 juta kes dengan 573,908 pesakit aktif (dirawat).
-- BERNAMA
#COVID-19
#ekonomi
#Indonesia
#kes positif
#BNPB
#PPKM
#Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia
#Joko Widodo
#jumlah kematian
#sosioekonomi
#sosio ekonomi