COVID-19: Indonesia lanjutkan tempoh sekatan hingga 28 Jun
Bernama
Jun 15, 2021 05:31 MYT
Jun 15, 2021 05:31 MYT
JAKARTA: Indonesia memutuskan untuk melanjutkan sekatan aktiviti awam skala mikro (PPKM) selama dua minggu lagi bermula semalam (15 Jun) untuk mencegah penularan COVID-19.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto dalam satu kenyataan di sini semalam berkata maksimum 25 peratus pekerja dibenarkan berada di pejabat di zon merah sementara selebihnya perlu bekerja dari rumah.
Risiko penularan COVID-19 di seluruh negara dikategorikan dengan warna - merah, oren, kuning dan hijau - merah untuk zon berisiko tinggi, dan hijau zon bebas kes baharu.
Di daerah pinggir bandar yang dikategorikan sebagai zon merah, kerajaan telah menetapkan pembelajaran secara dalam talian berikutan semua sekolah dan tempat ibadat ditutup.
Sementara itu, pusat beli-belah dan restoran akan ditutup pada 9 malam dan terhad kepada 50 peratus pengunjung sahaja dengan pematuhan ketat protokol kesihatan.
Indonesia menambah 8,189 kes baharu COVID-19 pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,919,547 sejak pandemik dikesan pada Mac 2020, menurut data di laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia.
Jumlah pesakit yang telah pulih meningkat 6,143 dengan keseluruhan 1,751,234, sementara angka korban meningkat sebanyak 237 menjadi 53,116.
-- BERNAMA
#Indonesia
#COVID-19
#pandemik
#sekatan
#risiko penularan
#lanjut sekatan
#Zon
#Pekerja
#pejabat
#Bekerja Dari Rumah
#Airlangga Hartarto
#dalam talian
#sekolah
#tempat ibadah
#protokol kesihatan
#BNPB
#pusat beli-belah