COVID-19: Indonesia catat 3,141 kes positif baharu, 118 lagi kematian dalam tempoh 24 jam
Bernama
September 14, 2020 19:30 MYT
September 14, 2020 19:30 MYT
Indonesia mencatatkan 3,141 kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kes positif keseluruhan di republik itu kini 221,523 kes.
Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 98,842 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.
Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini itu juga, sebanyak 118 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif kini 8,841 orang.
Provinsi Jakarta, yang kembali dikuatkuasakan peraturan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) selama dua minggu bermula hari ini, masih mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 55,099 kes, dengan tambahan 879 kes baharu.
Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 2,800 orang, diikuti Jakarta (1,418), Jawa Tengah (1,153), Kalimantan Selatan (389), Sulawesi Selatan (383) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.
-- BERNAMA
#COVID-19
#Indonesia
#Jakarta
#Jawa Timur
#kes positif baharu
#Pembatasan Sosial Berskala Besar
#PSBB