COVID-19: Individu dengan Long COVID akan dilindungi undang-undang - Biden

Astro Awani
Julai 27, 2021 00:04 MYT
Biden berkata, usaha akan digerakkan bagi memastikan individu dengan gejala Long COVID mempunyai akses kepada hak dan sumber daya diperlukan berdasarkan undang-undang kecacatan. (Foto AP)
INDIVIDU yang mempunyai simptom kesan jangka panjang COVID-19 atau 'Long COVID' akan dilindungi daripada diskriminasi.
Presiden Joe Biden menyatakan, pentadbirannya merancang menguatkuasakan undang-undang berkaitan perkara itu.
"Hari ini, saya dengan bangga mengumumkan usaha baru yang pertama seumpamanya untuk membantu rakyat Amerika menghadapi kesan jangka panjang COVID-19 yang disebut doktor sebagai Long COVID.
"Ramai rakyat Amerika yang nampaknya pulih daripada virus masih menghadapi cabaran yang berlanjutan seperti masalah pernafasan, sakit kronik dan keletihan.
"Keadaan ini kadang-kadang boleh mencapai ke tahap kecacatan.
"Oleh itu, kami mengumpulkan beberapa agensi untuk bersama memastikan rakyat Amerika dengan Long COVID yang mengalami kecacatan mempunyai akses kepada hak dan sumber daya yang dijelaskan di bawah undang-undang kecacatan," katanya pada Isnin.
Biden berkata demikian ketika ulang tahun ke-31 Enakmen Akta Orang Kurang Upaya (OKU) Amerika yang dikuatkuasakan untuk tidak diskriminasi terhadap OKU di tempat kerja, tempat awam, pengangkutan dan kehidupan masyarakat.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira satu daripada 10 pesakit COVID-19 masih tidak sihat 12 minggu selepas dijangkiti dan banyak yang mengalami simptom lebih lama.
Antara lain, katanya, usaha yang digerakkan akan memastikan individu dengan gejala Long COVID mempunyai akses kepada hak dan sumber daya diperlukan berdasarkan undang-undang kecacatan.
Ini termasuk mewajibkan penginapan baharu bagi mereka yang kurang upaya di restoran, tempat kerja, sekolah dan sistem penjagaan kesihatan.
#COVID-19 #koronavirus #Joe Biden #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #Amerika Syarikat #White House #Washington #undang-undang #sekolah #OKU #kesan jangka panjang #long COVID