COVID-19: India umum pinjaman tanpa cagaran
Astro Awani
Mei 14, 2020 09:30 MYT
Mei 14, 2020 09:30 MYT
MENTERI Kewangan India, Nirmala Sitharaman mengumumkan pinjaman tanpa cagaran untuk perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara itu.
Ini adalah sebahagian daripada program India untuk mengukukuhkan ekonomi sendiri yang diumumkan Perdana Menteri India Narendra Modi, dalam mendepani pandemik COVID-19.
Menurut Sitharaman, daripada pelan rangsangan ekonomi sebanyak AS$266 bilion yang diumumkan Modi, AS$40 bilion akan diperuntukkan kepada sektor PKS.
Langkah itu untuk memastikan PKS mendapat akses untuk meneruskan perniagaan dan mengurangkan kerugian ketika arahan tinggal di rumah dikuatkuasakan ketika negara itu berusaha mengatasi penularan COVID-19..
Tegasnya, pelan rangsangan 'India berdiri sendiri' ini bukan hanya melihat kepada pertumbuhan dalaman India dan memutuskan hubungan dengan negara luar.
Sebaliknya, kata Sitharaman, ia untuk mengukuhkan ekonomi India seterusnya menyumbang kepada pembangunan global.
Agensi penarafan Moody's sebelum ini menyemak turun pertumbuhan ekonomi India kepada sifar peratus untuk 2020 dan 2021.
Keadaan ini berpunca daripada arahan tinggal di rumah yang bermula pada 25 Mac dan masih dikuatkuasakan.