COVID-19: India uji sistem penghantaran sebelum lancar program vaksinasi
Astro Awani
Januari 3, 2021 11:35 MYT
Januari 3, 2021 11:35 MYT
INDIA menguji sistem penghantaran vaksin COVID-19 dengan percubaan di seluruh negara pada Sabtu, sebagai langkah siap-siaga melancarkan program vaksinasi besar-besaran.
Simulasi ini merangkumi kemasukan data ke platform dalam talian untuk memantau pemberian vaksin, ujian penyimpanan sejuk vaksin dan sistem pengangkutan.
Kementerian Kesihatan India mengesahkan perkara itu sehari selepas panel pakar dilantik kerajaan mengadakan perbincangan mengenai permohonan calon vaksin dibangunkan AstraZeneca-Universiti Oxford.
Program vaksin di negara itu dijangka dimulakan beberapa hari selepas Pihak Berkuasa Kawalan Ubat-Ubatan India meluluskan penggunaannya.
Untuk rekod, kerajaan negara itu merancang untuk memberikan vaksin kepada 300 juta rakyatnya pada fasa pertama dan ia merangkumi pekerja kesihatan, polis dan tentera.
Ini termasuk mereka yang mempunyai penyakit dan berumur 50 tahun ke atas.
Program itu akan bergantung kepada vaksin yang dihasilkan oleh Serum Institute of India.
Institute tersebut merupakan syarikat pembuatan vaksin terbesar di dunia yang menandatangani kontrak dengan AstraZeneca untuk menghasilkan satu bilion dos bagi negara-negara membangun, termasuk India.