COVID-19: India mula edar vaksin ke beberapa bandar
Agensi
Januari 12, 2021 19:22 MYT
Januari 12, 2021 19:22 MYT
AHMEDABAD: Pihak berkuasa di India telah mula mengedarkan vaksin COVID-19 ke beberapa bandar, iaitu empat hari menjelang hari vaksinasi di seluruh negara.
Penghantaran pertama vaksin yang mengandungi vaksin COVISHIELD yang dihasilkan Serum Institute of India serta dibangunkan Universiti Oxford dan AstraZeneca meninggalkan bandar Pune pada Selasa.
Vaksin tersebut meninggalkan kemudahan institut itu dalam trak yang mempunyai kawalan suhu menuju ke lapangan terbang bandar itu dan kemudiannya dimasukkan ke dalam pesawat peribadi untuk diedarkan ke seluruh negara.
Mulai Sabtu ini, India akan memulakan program vaksinasi secara besar-besaran yang melibatkan sekitar 30 juta doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang lain.
Vaksin tersebut kemudiannya akan diberikan kepada kira-kira 270 juta rakyatnya yang berusia lebih 50 tahun atau mereka yang mempunyai masalah kesihatan lain mungkin berdepan risiko kematian jika dijangkiti COVID-19.
Pengawal selia ubat India juga telah meluluskan penggunaan vaksin COVAXIN yang dibangunkan syarikat tempatan Bharat Biotech untuk tujuan kecemasan.
Kumpulan perubatan menimbulkan kebimbangan mengenai vaksin itu kekurangan bukti tentang keberkesanannya.
Ia masih tidak didedahkan lokasi dan masa COVAXIN akan diedarkan.
Untuk rekod, India merupakan negara kedua paling teruk terjejas akibat jangkitan COVID-19 di seluruh dunia, selepas Amerika Syarikat.
Dengan populasi seramai 1.3 bilion orang, India merekodkan lebih 10.47 juta kes positif dan angka korban mencecah 151,327 setakat Selasa.
#India
#COVID-19
#vaksin
#Covishield
#Serum Institue of India
#AstraZeneca
#Amerika Syarikat
#University Oxford
#Pune