COVID-19: India laksana ujian saringan secara rawak di lapangan terbang

Astro Awani
Disember 23, 2022 09:30 MYT
Para penumpang ketika menunggu bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj. - fotoREUTERS
MUMBAI: India mula laksana ujian saringan COVID-19 secara rawak terhadap penumpang antarabangsa yang tiba di lapangan terbang negara itu, pada Khamis.
Menteri kesihatanya, Mansukh Mandaviya umum peraturan baharu itu susulan peningkatan kes koronavirus di negara jiran, China.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri meningkatkan pengawasan bagi sebarang varian koronavirus baharu dan menghantar sampel semua kes positif ke makmal penjujukan genom.
Selain itu, Mandaviya turut meminta orang ramai memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan fizikal walaupun ia tidak diwajibkan.
India melonggarkan peraturan pemakaian pelitup muka awal tahun ini selepas kes koronavirus mula menurun dengan mendadak.
Negara itu pernah menjadi pusat penularan bagi kes COVID-19.
Namun kes jangkitan menurun secara mendadak sejak beberapa bulan ini.
Menurut data Kementerian Kesihatan, India kini merekodkan kira-kira 3,400 kes COVID-19 aktif.
Di China, kes jangkitannya meningkat sejak ia melonggarkan sekatan ketat awal bulan ini berikutan protes awam yang berlaku.
#COVID-19 #ujian saringan #penumpang antarabangsa #Mansukh Mandaviya
;