COVID-19: Ibarat terperangkap dalam tubuh sendiri akibat komplikasi
Agensi
November 30, 2021 10:51 MYT
November 30, 2021 10:51 MYT
KOMPLIKASI akibat COVID-19 adalah benar dan perkara ini turut berlaku bukan sahaja dalam negara malah seluruh dunia.
Perkara sama kini terjadi terhadap seorang bapa kepada lapan orang anak, James Grayson di Surrey, England yang pada awalnya menyangka hanya mengalami selesama biasa.
Namun secara tiba-tiba rebah di rumahnya pada 19 Oktober lalu akibat dijangkiti COVID-19.
Anak perempuan kepada anggota bomba berusia 41 tahun itu memaklumkan, bapanya kini sedang bertarung nyawa dan pihak hospital memberi amaran kepada ahli keluarga untuk menerima sebarang kemungkinan buruk yang akan berlaku.
Memetik laporan Sky News, Ebonnie meluahkan rasa bimbang terhadap keadaan bapanya dan ahli keluarga lain yang amat dukacita dengan keadaan James di hospital ketika ini.
Dilaporkan, keadaan paru-paru James terus merosot termasuk keadaan kesihatan yang semakin tidak stabil.
“Walaupun dengan usaha keras para doktor, ayah saya masih dalam keadaan tidak stabil.
“Kami sekeluarga amat sedih dengan perkara yang berlaku. Beliau adalah seorang ayah yang kuat yang sering menjaga kami.
“Perkara ini adalah yang terburuk pernah berlaku kepada kami dan beliau masih bernyawa ketika ini hanya kerana bergantung kepada mesin yang diberikan,” luah anaknya itu.
James yang kini menerima rawatan di Hospital St Thomas London berada dalam keadaan tenat selepas dimasukkan ke hospital sekitar Oktober lepas.
James terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan akibat strok dan komplikasi lain seperti paru-paru tidak berfungsi, pneumonia dan darah beku.
Keluarga tersebut kini sudah menubuhkan saluran 'Go Fund Me' untuk meraih bantuan dana yang dijanjikan akan diberikan sebahagiannya kepada hospital tersebut.