COVID-19: Hotel 'ditempah' untuk para hakim, cetus kemarahan rakyat India
Agensi
April 27, 2021 00:25 MYT
April 27, 2021 00:25 MYT
NEW DELHI: Susulan lonjakan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini, pihak berkuasa di New Delhi menukarkan sebuah hotel mewah kepada kemudahan kesihatan COVID-19 untuk kegunaan eksklusif hakim mahkamah tinggi dan keluarga mereka.
Tindakan itu jelas menimbulkan kemarahan rakyat di bandaraya tersebut yang berdepan dengan pelbagai masalah terutama tidak mendapat kemudahan hospital oleh kerana jumlah pesakit COVID-19 melebihi kapasiti sistem kesihatan.
Kerajaan tempatan bagaimanapun memberitahu, pihaknya menerima arahan tersebut daripada Mahkamah Tinggi Delhi kerana lonjakan kes harian sehingga perlu mengambil keputusan menempah 100 bilik di Hotel Ashoka untuk badan kehakiman.
Menurut jurucakap parti Kongres Pembangkang Utama, Javieer Shergill, keputusan kerajaan itu jelas membatasi hak kesamarataan yang termaktub dalam Perlembagaan dan mahkamah itu sendiri sepatutnya menolak hak layanan istimewa tersebut.
"Demi keadilan, integriti dan kepercayaan dalam sistem kehakiman, Mahkamah Tinggi Delhi harus membatalkan perintah itu," katanya.
Hakim tidak disenaraikan sebagai petugas barisan hadapan dan kebanyakan mahkamah beroperasi secara maya.
Jelas Aakar Patel, penganalisis politik negara itu, adalah satu keputusan yang wajar sekiranya Mahkamah Tinggi Delhi menolak tawaran Hotel Ashoka atau membatalkannya jika mereka memerintahkannya sendiri.
"Kita tidak boleh melakukan diskriminasi terbuka... lebih-lebih lagi dilakukan oleh mereka yang ditugaskan untuk mencegahnya," jelas beliau.
Ibu negara India adalah salah satu kawasan yang paling teruk terjejas dalam gelombang kedua negara yang meletup, dengan setiap orang ketiga pasti disahkan positif virus itu.
Untuk rekod, hospital di India semakin parah apabila jangkitan dan kadar kematian meningkat dengan amat pantas sehingga terpaksa meminta bantuan peti ventilator dan pemampat oksigen dari negara luar.
Lebih membimbangkan, kira-kira satu kematian akan dilaporkan setiap empat minit di negara berpopulasi 1.36 bilion penduduk tersebut.
#hotel
#India
#New Delhi
#mahkamah
#politik
#kerajaan
#pembangkang
#kesihatan
#rakyat
#integriti
#keluarga
#COVID-19