COVID-19: Hospital New York mula vaksinasi kanak-kanak 5-11 tahun

Astro Awani
November 5, 2021 10:32 MYT
Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun menerima dos pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di NYC Health and Hospitals-Harlem, New York, 4 Nov, 2021. (Foto AP)
HOSPITAL di New York pada Khamis memulakan pemberian suntikan vaksin COVID-19 dos pertama kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.
Sasaran Amerika Syarikat pada minggu ini adalah program vaksinasi pelajar sekolah, susulan fasa baharu vaksinasi COVID-19 yang menumpukan kepada mengekang kematian, kemasukan ke hospital dan kelancaran sistem pendidikan.
Pegawai kesihatan berkata, bekalan vaksin mencukupi untuk melindungi 28 juta kanak-kanak di negara ini yang berumur 5-11 tahun.
Vaksin dos rendah yang diterima golongan ini memerlukan dua dos suntikan dengan selang masa tiga minggu.
Justeru, kanak-kanak yang mendapat vaksin sebelum sambutan hari kesyukuran atau Thanksgiving akan dilindungi sepenuhnya menjelang perayaan Krismas.
Presiden Joe Biden sebelum ini berkata, bekalan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun di Amerika Syarikat adalah mencukupi menjelang minggu depan.
Jelas beliau, dos vaksin tersebut tersedia di 20,000 lokasi di seluruh negara.
#Amerika Syarikat #program vaksinasi #New York #sekolah
;