COVID-19: Hong Kong semak semula sekatan susulan penurunan kes

Astro Awani
Mac 21, 2022 08:34 MYT
Orang awam memakai topeng pelitup muka berdekatan fasiliti yang dihalang penggunaannya di sebuah taman rekreasi di Hong Kong, 20 Mac 2022. (Foto AP)
HONG Kong merancang untuk menyemak semula sekatan COVID-19 pada Isnin.
Semakan dibuat selepas pemimpin bandar hab kewangan global itu, Carrie Lam mengakui warga Hong Kong 'hilang sabar' dengan dasar koronavirus yang dilaksanakan.
Bandar yang dikuasai China itu mempunyai beberapa peraturan COVID-19 yang paling ketat di dunia.
Antaranya dengan larangan penerbangan dari sembilan negara termasuk Australia, Britain serta kuarantin hotel sehingga dua minggu untuk pengembara yang tiba.
Bandar ini juga telah mengenakan larangan ke atas perhimpunan lebih daripada dua orang, manakala kebanyakan tempat awam ditutup, termasuk pantai dan taman permainan, pelitup muka adalah wajib dan tiada pembelajaran bersemuka untuk pelajar.
Pada Ahad, kerajaan melaporkan 14,149 kes baharu COVID-19, turun daripada 16,597 sehari sebelumnya dan lebih 20,000 pada Jumaat.
Wabak koronavirus telah melanda rumah jagaan warga emas dan melumpuhkan banyak bahagian di bandar itu.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, jalan-jalan di pusat kewangan Hong Kong sunyi senyap, restoran dan bar ditutup atau kosong dan rak pasar raya kosong apabila orang ramai membeli barangan runcit di tengah-tengah kebimbangan penutupan seluruh bandar.
Banyak perniagaan di seluruh bandar terpaksa ditutup, termasuk gim, restoran dan bar.
Hong Kong telah menyaksikan aliran keluar bersih sekitar 50,000 orang setakat bulan ini, berbanding lebih 71,000 pada Februari dan hampir 17,000 pada Disember sebelum gelombang kelima melanda.
Walaupun Hong Kong secara rasmi berpegang kepada strategi "sifar-COVID" untuk membendung wabak, tetapi kini dilihat beralih arah kepada strategi belajar untuk hidup dengan virus itu.
#COVID-19 #sekatan #Carrie Lam #larangan
;