COVID-19: Hong Kong pertimbang pendekkan kuarantin kepada pengembara

Astro Awani
Julai 5, 2022 07:50 MYT
Hong Kong adalah bandar yang mempunyai sekatan perjalanan paling ketat. - Foto fail/REUTERS
HONG KONG: Hong Kong sedang mengkaji keperluan memendekkan tempoh kuarantin COVID-19 bagi pengembara luar negara.
Pada masa sama berusaha mengekang penularan virus itu bagi memastikan hospital tidak menerima beban kes tinggi.
Perkara itu disahkan Ketua Eksekutif Hong Kong baharu, John Lee pada sidang akhbar mingguan pertamanya selepas mengangkat sumpah pada Jumaat.
Menurutnya lagi butiran dan kaedah kemasukan akan diumumkan dalam masa terdekat selepas penilaian risiko dijalankan Kementerian Kesihatan.
China adalah negara tunggal menjalankan strategi 'sifar COVID-19' yang bertujuan menghapuskan penularan virus itu.
Hong Kong adalah bandar yang mempunyai sekatan perjalanan paling ketat.
Bandar terbabit masih mengenakan perintah kuarantin di hotel selama tujuh hari dengan kos ditanggung pengembara, selain mengkehendaki pengembara melengkapkan borang kemasukan yang ketat selain keperluan ujian saringan wajib.
#COVID-19 #kuarantin #Pengembara #penularan virus
;