COVID-19: Hong Kong arah ujian saringan wajib ke atas semua penduduk

Astro Awani
Februari 22, 2022 07:40 MYT
Penduduk turut diarah untuk lakukan ujian pantas Antigen setiap hari. - Foto REUTERS
HONG KONG: Kerajaan Hong Kong menwajibkan ujian saringan COVID-19 dilalukan semua penduduk di bandar itu susulan peningkatan mendadak jumlah jangkitan virus berkenaan.
Ketua Eksekutif Carrie Lam berkata kesemua 7.5 juta penduduk akan diwajibkan melakukan tiga ujian bermula pertengahan Mac.
Tambahnya sesi persekolahan juga akan ditamatkan awal.
Ketika ini peningkatan mendadak jangkitan COVID-19 akibat penularan varian Omicron memberi tekanan kepada fasiliti kesihatan di bandar itu.
"Tiga bulan akan datang ini merupakan tempoh kritikal bagi menangani wabak ini.
"Penularan mendadak memberi tekanan kepada kebolehan kerajaan Hong Kong untuk mengatasinya," katanya.
Semua penduduk akan menjalani tiga ujian PCR selang seminggu.
Lam tidak mengumumkan tarikh saringan itu akan bermula namun berkata kapasiti akan ditingkatkan kepada sejuta ujian dalam sehari.
"Populasi penduduk berjumlah kira-kira 7 juta oleh itu ujian saringan akan mengambil masa tujuh hari," jelasnya.
Penduduk turut diarah untuk lakukan ujian pantas Antigen setiap hari.
Ini kali pertama semua penduduk di Hong Kong diarah untuk lakukan ujian saringan COVID-19.
Pada Selasa, bandar itu mengesan 6,211 kes jangkitan baharu, namun jumlah sebenar dipercayai lebih tinggi.
Sejak virus itu mula dikesan, Hong Kong mencatatkan 12,650 kes positif dan hampir 200 kes kematian.
Jumlah jangkitan meningkat secara mendadak sejak Januari tahun ini.
#COVID-19 #ujian saringan #Omicron #Carrie Lam
;