COVID-19: Hentikan nasionalisme vaksin - WHO

Astro Awani
September 4, 2020 07:30 MYT
WHO beri amaran terhadap semangat nasionalisme vaksin ketika mana dunia secara berterusan berusaha membangunkan vaksin yang berkesan terhadap COVID-19. -Gambar fail
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran terhadap semangat nasionalisme vaksin ketika dunia berterusan berusaha membangunkan vaksin yang berkesan terhadap COVID-19.
Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus turut menarik perhatian, pekerja barisan hadapan di semua negara perlu diberi keutamaan untuk mendapatkan vaksin.
Ini kerana, jelasnya, pekerja barisan hadapan adalah yang paling berisiko terkena jangkitan.
"Kita semua berharap memiliki berita baik tentang vaksin untuk COVID-19 tetapi jika dan ketika kita mempunyai vaksin yang berkesan, kita juga mesti menggunakannya dengan berkesan.
“Dalam masa yang sama, seiring dengan peningkatan produksi, kita ingin semua orang di mana-mana mendapat akses kepada vaksin.
"Tetapi pada awalnya, apabila bekalan terhad, keutamaan harus diberikan kepada pemvaksinan pekerja penting dan mereka yang paling berisiko, termasuk orang tua serta mereka yang mempunyai keadaan memerlukan.
"Dengan kata lain, keutamaan pertama mestilah memvaksinasi beberapa orang di semua negara dan bukannya semua orang di beberapa negara.
“Ini bukan hanya kepentingan moral dan kesihatan awam. Ia juga merupakan keperluan ekonomi, di dunia kita yang saling berkaitan.
"Jika rakyat di negara berpendapatan rendah dan sederhana tidak mendapat vaksin, virus itu akan terus membunuh dan pemulihan ekonomi di seluruh dunia akan terpaksa ditangguhkan,” katanya.
Oleh itu, jelasnya, penggunaan vaksin sebagai kebaikan awam global adalah kepentingan nasional setiap negara.
Ujarnya, nasionalisme vaksin akan memanjangkan wabak dan bukan memendekkannya.
Dalam pada itu, Dr Ghebreyesus berkata adalah penting untuk memberi vaksin kepada beberapa orang di semua negara berbanding semua orang di beberapa negara.
#COVID-19 #Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus #ekonomi #kesihatan #koronavirus #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #rakyat #vaksin #WHO
;