COVID-19: Henti beri dos ketiga sehingga hujung tahun ini - WHO

Astro Awani
September 8, 2021 07:27 MYT
Tidak ada satu pun negara berpendapatan rendah yang mencapai mana-mana sasaran, kata Dr Tedros. -Gambar fail
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara kaya yang mempunyai bekalan vaksin COVID-19 berlebihan untuk tidak menawarkan dos penggalak atau booster shot sehingga akhir tahun ini.
Menurut ketua pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, ketika 70 peratus negara berpendapatan tinggi telah mencapai kadar vaksinasi 40 peratus populasi, tiada satu pun negara berpendapatan rendah telah mencapai sebarang sasaran.
"Hampir 90 peratus negara berpendapatan tinggi kini telah mencapai sasaran 10 peratus, dan lebih 70 peratus telah mencapai sasaran 40 peratus.
"Tidak ada satu pun negara berpendapatan rendah yang mencapai mana-mana sasaran.
"Itu bukan salah mereka. Kami telah mendengar alasan daripada pengeluar dan beberapa negara berpendapatan tinggi mengenai bagaimana negara berpendapatan rendah tidak mendapat vaksin.
"Hampir setiap negara berpendapatan rendah sudah mendaftarkan vaksin yang mereka miliki, dan mereka memiliki pengalaman luas dalam kempen vaksinasi berskala besar untuk polio, campak , meningitis, demam kuning dan banyak lagi.
"Tetapi oleh kerana pengeluar telah mengutamakan atau diwajibkan secara undang-undag untuk memenuhi perjanjian dua hala dengan negara-negara kaya yang bersedia membayar harga tinggi, negara-negara berpendapatan rendah telah kehilangan cara untuk melindungi rakyatnya," kata dr Tedros.
Dr Tedros sebelum ini telah meminta moratorium terhadap dos ketiga vaksin COVID-19 sehingga akhir bulan September.
Bagaimanapun Amerika Syarikat dan beberapa negara lain telah mengumumkan pelan menawarkan dos ketiga terhadap populasi yang mempunyai masalah imunisasi.
#negara berpendapatan tinggi #dos ketiga #vaksin COVID-19 #Tedros Adhanom Ghebreyesus
;