COVID-19: Harapan baharu untuk sektor pelancongan Sepanyol pulih

Astro Awani
Jun 22, 2020 08:00 MYT
Bermula Ahad, 47 juta warga Sepanyol boleh melakukan perjalanan di serata negara berkenaan iaitu kali pertama sejak 14 Mac. - Reuters
Sepanyol membuka kembali ekonomi dan menamatkan larangan pergerakan selepas tiga bulan untuk mengawal penularan COVID-19.
Bermula Ahad, 47 juta warga Sepanyol boleh melakukan perjalanan di serata negara berkenaan iaitu kali pertama sejak 14 Mac.
Ini memberikan harapan kepada sektor pelancongan di Sepanyol yang menyumbang sebanyak AS$200 bilion kepada ekonomi negara itu sejak 2018.
Sepanyol adalah negara kedua yang paling dilawati di dunia dan menyaksikan kemasukan lebih 83 juta pelancong pada 2019.
Bermula Ahad, Sepanyol boleh menerima pelancong dari Eropah tanpa perlu dikuarantin selama 12 hari.
Antara yang dijangka menjadi tumpuan pelancong adalah kepulauan Balearic yang masih kosong dalam tinjauan pada Ahad.
Kebanyakan penduduk di kawasan tersebut bergantung kepada sektor pelancongan sebagai sumber pendapatan mereka.
Presiden Persatuan Perniagaan di Balearic sebelum ini melaporkan ekonomi di kepulauan berkenaan menguncup 4.5 peratus untuk suku pertama dan dijangka lebih buruk pada suku kedua.
Bermula pada minggu lepas, pelancong Jerman dibenarkan masuk dalam tempoh percubaan.
Namun jumlah mereka yang melancong masih kecil.
Sektor pelancongan Sepanyol menyumbang 12 peratus kepada KDNK negara itu dan menyokong 2.6 juta pekerjaan.
Bagi sesetengah kawasan seperti Kepulauan Baleric dan Canary, kebergantungan kepada sektor pelancongan adalah sekitar 30 peratus.
Sepanyol sebelum ini mengumumkan pakej bantuan untuk sektor pelancongan bernilai 4. 2 bilion euro.
#Canary #COVID-19 #kepulauan Balearic #koronavirus #larangan pergerakan #pelancong Eropah #sektor pelancongan #sepanyol
;