COVID-19: Hanya 17 penumpang setiap penerbangan dalam negara di AS

Astro Awani
Mei 9, 2020 11:26 MYT
Hanya seorang penumpang dilihat mendaftar di kaunter Delta Airlines untuk menaiki penerbangan di lapangan terbang Reagan National, di Washington, AS, 29 April, 2020. REUTERS
JUMLAH pengembara dalam negara di Amerika Syarikat (AS) jatuh ke paras yang sangat rendah dalam masa berdekad lamanya.
The Associated Press melaporkan pada Sabtu, secara purata hanya 17 orang berada dalam sesebuah pesawat untuk perjalanan dalam negara.
Jumlah mereka yang melepasi pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang juga jatuh 93 peratus berbanding tempoh setahun sebelum ini.
Susulan itu, syarikat penerbangan utama termasuk United Airlines terpaksa mengurangkan jadual penerbangan dan meningkatkan langkah keselamatan bagi melindungi penumpang dan pekerja daripada wabak COVID-19.
Ini termasuk membekalkan topeng muka kepada pekerja dan kakitangan lapangan terbang dan pesawat, serta penumpang.
United Airlines juga akan meningkatkan pembersihan kabin pesawat.
Syarikat penerbangan itu dijangka mengurangkan pekerja di peringkat pengurusan dan pentadbiran sebanyak 30 peratus pada Oktober apabila dana bantuan kerajaan habis digunakan.
#AS #COVID-19 #kabin #kerajaan #keselamatan #lapangan terbang #mengurangkan pekerja #pelan bantuan #pembersihan #penerbangan #penumpang #pesawat #syarikat penerbangan #topeng
;