COVID-19: Hampir sejuta penduduk China mohon permit masuk Hong Kong, Macau
Agensi
Januari 17, 2023 19:03 MYT
Januari 17, 2023 19:03 MYT
SHENZHEN: Hampir sejuta penduduk di China dilaporkan memohon permit melakukan perjalanan ke Hong Kong, Macau dan Taiwan sejak sempadan dibuka semula pada 8 Januari lalu.
Memetik laporan CNA, sebanyak 998,000 permohonan dibuat sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak 147.6 peratus berbanding sebelum sekatan perjalanan pandemik China dilonggarkan.
Lapangan terbang, terminal feri dan pusat pemeriksaan darat menyaksikan situasi pertemuan penuh emosi yang mana majoritinya tidak bertemu dengan orang tersayang sejak wabak COVID-19 bermula.
Huang Wenjing yang merupakan salah seorang pengunjung sedang bersiap sedia menyeberang pusat pemeriksaan Futian di bandar Shenzhen pada hari bekerja pertama selepas pembukaan semula teruja selepas lebih setahun tidak berjumpa suami dan anak perempuannya.
“Saya sangat teruja dan gembira selepas sekian lama tidak melihat mereka,” kata Huang kepada CNA sambil mengesat air matanya.
Lintasan sempadan Futian antara yang pertama dibuka semula selepas tiga tahun ditutup akibat COVID-19.
Dalam pada itu, kira-kira 490,000 perjalanan keluar masuk dari China dicatatkan antara 8 dan 12 Jan selepas negara itu membatalkan kuarantin untuk pelancong masuk dan melonggarkan sekatan perjalanan lain.
Pihak berkuasa memaklumkan jumlah meningkat ke 48.9 peratus berbanding tempoh sebelum sekatan dilonggarkan iaitu hanya 26.2 peratus daripada semasa pra-pandemik pada 2019.
Daripada angka ini, 424,000 orang menyeberangi sempadan melalui darat iaitu kira-kira 30.1 peratus peningkatan berbanding tiga tahun lalu.