COVID-19: Hampir 500,000 kematian, Brazil jadi negara kedua catat angka tertinggi
Astro Awani
Jun 20, 2021 11:10 MYT
Jun 20, 2021 11:10 MYT
BRAZIL menjadi negara kedua mencatatkan lebih setengah juta kematian akibat COVID-19.
Gelombang jangkitan semasa pula tidak menunjukkan tanda akan reda, dengan 98,832 kes jangkitan baharu dan 2,495 kematian pada Sabtu.
Ia menjadikan kumulatif kes positif COVID-19 di negara itu berjumlah 17.8 juta dan keseluruhan angka korban mencecah 498,499 kes.
Senat Persekutuan Brazil secara terbuka menempelak perkembangan ini.
Mereka mendakwa, Presiden Jair Bolsonaro gagal bertindak hingga menyebabkan program vaksinasi tertangguh.
Sebaliknya, kata mereka, Bolsanaro tanpa henti mendorong penggunaan hydroxychloroquine, iaitu ubat malaria yang tidak terbukti mampu merawat COVID-19.
Dalam tempoh seminggu, Brazil merekodkan purata 2,000 kematian sehari. Jumlah ini mewakili satu per lima jumlah kematian global.
Ketua Unit Rawatan Rapi di Hospital Santa Casa De Valinhos Dr Abdel Latif memaklumkan, masih banyak kelemahan dalam penguatkuasaan untuk mengawal wabak tersebut.
“Kehilangan setengah juta nyawa dalam pertempuran melawan penyakit adalah serius. Ini adalah orang muda, ibu bapa, bukan hanya angka tanpa nama.
“Kisah mereka sedang dikuburkan. Mereka adalah anak yang menangisi kematian ibu bapa sebelum waktunya,” katanya.
Setakat ini, sejumlah 82 juta dos vaksin telah diperoleh dan diberikan di Brazil, kebanyakannya suntikan dos pertama, dan hanya 11 peratus populasi negara itu telah menerima vaksinasi penuh.
#Brazil
#COVID-19
#jangkitan
#jumlah kematian
#vaksin
#suntikan
#Hydroxychloroquine
#kes positif
#program vaksinasi
#angka korban
#dos pertama
#unit rawatan rapi