COVID-19: Golongan muda di Amerika Syarikat cenderung enggan divaksin - CDC
Astro Awani
Jun 21, 2021 07:21 MYT
Jun 21, 2021 07:21 MYT
GOLONGAN muda mencari vaksin COVID-19 pada kadar yang lebih perlahan daripada golongan tua di Amerika Syarikat.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) berkata, sekiranya kadar vaksinasi itu berterusan sehingga Ogos, liputan vaksin dalam kalangan golongan muda tidak akan mencapai tahap yang disasarkan seperti golongan tua.
Agensi itu berkata lebih banyak usaha diperlukan untuk meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan dewasa muda untuk mengurangkan kemasukan ke hospital dan kematian akibat COVID-19.
Daripada 57 peratus rakyat Amerika Syarikat yang menerima dos pertama pada 22 Mei, liputan paling tinggi adalah dalam kalangan individu berusia 65 tahun ke atas manakala terendah dalam kalangan individu berusia 18 hingga 29 tahun.
Kenyataan itu berdasarkan analisis kadar vaksin diterbitkan pada Isnin dalam morbiditi dan kematian CDC dalam laporan mingguan.
Pemerhatian berdasarkan data vaksinasi yang dilaporkan kepada agensi dari 14 Disember 2020 hingga 22 Mei 2021.
Sementara itu, CDC juga menyebut golongan muda di Amerika Syarikat juga cenderung enggan mendapatkan vaksin kerana kebimbangan keselamatan dan keberkesanan vaksin.
Ini berdasarkan laporan daripada tinjauan isi rumah dilakukan dari bulan Mac hingga Mei 2021.
Kadar vaksinasi terendah adalah bagi golongan berpendapatan rendah, orang dewasa etnik Afrika, bukan Hispanik berusia 18 ke 39 tahun dengan tahap pendidikan lebih rendah yang tidak mempunyai insurans kesihatan serta tinggal di pinggir bandar.
Laporan itu juga menyebut, seorang daripada empat orang dewasa berusia 18 hingga 39 tahun menyatakan mereka mungkin atau pasti tidak akan divaksin.
Tambah CDC, menawarkan program vaksinasi di tempat kerja, cuti berbayar untuk mendapatkan vaksin, vaksin bergerak, klinik dengan waktu yang fleksibel serta dibuat secara 'walk-in' antara cadangan meningkatkan kadar vaksinasi golongan muda.
Vaksinasi rakyat Amerika Syarikat bermula Disember lalu dan usaha awal difokuskan kepada kumpulan berisiko tinggi seperti petugas kesihatan dan warga tua.
Ia kemudian diperluas kepada golongan belia 18 tahun ke atas mulai 19 April.