COVID-19: Golongan miskin perlu lebih 10 tahun untuk pulih pasca pandemik - Laporan

APTN
Januari 25, 2021 09:47 MYT
Golongan miskin perlu lebih 10 tahun untuk pulih pasca pandemik, lapor Oxfam International. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seribu individu paling kaya di dunia berjaya mengatasi kerugian akibat COVID-19 dalam masa hanya sembilan bulan.
Namun bagi golongan termiskin dunia, ia memerlukan lebih dari satu dekad untuk pulih.
Laporan itu dikeluarkan Oxfam International pada Isnin bertajuk 'The Inequality Virus' yang diterbitkan pada hari pembukaan Forum Ekonomi Sedunia (WEF) 'Davos Dialogues'
Ini menunjukkan bahawa COVID-19 berpotensi untuk meningkatkan ketidaksamaan ekonomi di hampir setiap negara secara serentak.
Menurut Pengarah Eksekutif Oxfam International, Gabriela Bucher, perkara itu merupakan pertama kalinya terjadi sejak rekod bermula lebih satu abad lalu.
"Ketika pandemik, 10 jutawan menjana setengah trilion dolar dalam tempoh itu yang cukup untuk mencegah sesiapa pun di seluruh dunia daripada terjerumus dalam kemiskinan, selain cukup untuk membayar vaksin untuk semua orang.
“Sebaliknya, kita tahu jutaan orang hilang pekerjaan, mata pencarian dan rumah mereka.
"Jadi perbezaannya sangat besar dan kita tahu bahawa tahun ini ketidaksamarataan akan meningkat hampir setiap negara di dunia dan kenaikan terbesar sejak rekod bermula,” katanya.
Laporan itu berkata peningkatan ketidaksamaan bererti tempoh yang diperlukan untuk golongan miskin kembali ke tahap prapandemik adalah 14 kali lebih lama berbanding 1,000 individu paling kaya dunia.
Bucher berkata beliau percaya akses kepada vaksinasi koronavirus sangat penting sebagai jambatan terhadap ketidaksamaan ini, serta cukai yang dapat digunakan untuk pemulihan pandemik.
"Jadi, kami rasa kita perlu mengukur apa yang kita hargai selain KDNK.
"Mari kita fikirkan tentang apa yang penting untuk orang ramai seperti kesejahteraan, pelaburan dalam kesihatan, vaksin rakyat, pastikan vaksin diberikan kepada semua orang.
“Pastikan kita kenakan cukai sewajarnya seperti Argentina, sebagai contoh. Mereka telah mengenakan cukai kekayaan secara ‘one-off’ kepada rakyat yang akan membayar untuk pemulihan wabak.
"Kita perlu melihat bagaimana ini benar-benar peluang untuk melakukan transformasi mengenai cara kita berfikir mengenai ekonomi,” ujarnya.
Oxfam adalah gabungan 20 organisasi kebajikan bebas yang memfokuskan kepada membanteras kemiskinan global yang ditubuhkan pada tahun 1942 dan diketuai oleh Oxfam International.
#COVID-19 #oxfam international #The Inequality Virus #Forum Ekonomi Sedunia #WEF #Davos Dialogues #Gabriela Bucher #golongan miskin
;