COVID-19: Gelandangan paling terdedah risiko, 22 maut ketika pandemik di Sao Paulo
Astro Awani
Mei 11, 2020 08:00 MYT
Mei 11, 2020 08:00 MYT
Gelandangan di Sao Paulo, Brazil antara golongan yang paling terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19.
Sekurang-kurangnya 22 golongan itu dilaporkan meninggal dunia sementara 40 yang lain disyaki positif wabak tersebut.
Bandar itu dipenuhi dengan gelandangan yang terpaksa mencari perlindungan dalam khemah, di bawah jambatan dan di sekitar dataran awam.
Ini menjadi cabaran buat mereka untuk menjaga kebersihan diri di samping mengelak jangkitan COVID-19.
“Masalah terbesar adalah kurang perumahan. Jika kita mempunyai rumah, saya akan duduk di rumah ketika tempoh kuarantin.
"Saya tidak berada di jalanan. Koronavirus ini hanyalah satu lagi masalah yang kami hadapi,” kata gelandangan Marco Antonio.
Jumlah gelandangan di bandar Sao Paulo meningkat 53 peratus dalam tempoh empat tahun yang lalu, iaitu daripada 15,903 pada 2015 kepada 24,344 pada 2019.
Menurut paderi, Julio Lancellotti, 71, yang telah bertungkus-lumus membantu gelandangan selama lebih 34 tahun, pandemik COVID-19 mendedahkan isu jurang pendapatan yang semakin membesar.
“Situasi yang kami hadapi ini menyerlahkan isu ketidaksamaan.
"Terdapat satu ciapan di media sosial yang menggambarkan situasi ini: 'Kita tidak boleh lihat semua orang berada dalam kapal yang sama. Kita mungkin dalam lautan yang sama, namun ada yang berada dalam kapal mewah, ada yang hanya berenang',” ujarnya.