COVID-19: Gajah-gajah tunggangan di Thailand kini bebas
Agensi
April 15, 2020 07:35 MYT
April 15, 2020 07:35 MYT
WABAK COVID-19 yang melanda di seluruh dunia sedikit sebanyak membawa hikmah tersendiri.
Kem Gajah Maesa di Chiang Mai yang terpaksa ditutup, sekali gus 'membebaskan' gajah-gajah di situ daripada tugasan harian mereka.
Kesemua 78 ekor gajah yang terdapat di kem itu tidak perlu lagi menjadi tunggangan pengunjung, malah pemilik kem itu memaklumkan mereka akan memberhentikan perkhidmatan tersebut, biarpun selepas wabak berakhir nanti.
Haiwan itu kini dibiarkan berkeliaran dengan bebas dalam kawasan kem dan pengunjung hanya boleh memerhatikan mereka dari jauh.
"Sejak kami mula beroperasi pada tahun 1976, menunggang gajah adalah aktiviti kegemaran pelancong," kata pengarah kem, Anchalee Kalampichit.
"Kami tidak merancang mengembalikan (tunggangan gajah) walaupun selepas kami beroperasi semula.
Orang ramai masih boleh menyaksikan gajah tetapi kali ini fokus kami lebih kepada pembelajaran," tambahnya.
Penurunan jumlah pelancong memaksa penutupan ratusan taman gajah di Thailand.
Difahamkan, di Chiang Mai sahaja mempunyai 93 buah kem dan taman gajah.
"Kami di sini perlu membayar gaji 300 pekerja. Kosnya menghampiri 5 juta baht (RM759,577) setiap bulan," ujarnya.
"Hal ini bukan satu situasi yang menyenangkan. Jika berterusan, kedudukan gajah-gajah ini akan kembali terancam.
"Melainkan jika kerajaan menawarkan sokongan kewangan untuk membantu taman dan kem terbabit, gajah-gajah ini akan dipaksa ke jalanan atau terbabit dalam operasi pembalakan haram," kata Presiden Persatuan Gajah Thailand, Theerapat Trungprakan.
#Bebas
#COVID-19
#gajah
#kem gajah
#koronavirus
#pelancong
#Persatuan Gajah Thailand
#taman gajah
#Thailand