COVID-19: Gagal dapat khidmat ambulans, bapa dukung mayat anak ke pusat pembakaran

Astro Awani
Mei 18, 2021 08:03 MYT
Seorang bapa terpaksa mendukung mayat anaknya ke pusat pembakaran mayat selepas gagal mendapatkan perkhidmatan ambulans. - Foto Twitter/@SushantBSinha
RAKAMAN video yang menunjukkan seorang bapa mendukung anaknya yang meninggal dunia dipercayai akibat COVID-19 tular di media sosial sejak semalam.
Menurut laporan The Hindustan Times, video berkenaan dirakam di Jalandhar, India dan memaparkan keadaan kesihatan yang kritikal di negara berkenaan.
Lelaki berkenaan yang dikenal pasti sebagai Dalip Kumar memberitahu media tempatan bahawa anaknya Sonu, 11, mengalami gejala demam sejak dua bulan lalu.
Selepas memberikan rawatan tradisional, keadaan anaknya bertambah buruk dan dia terpaksa membawa Sonu ke Hospital Awam Jalandhar.
Sonu kemudian dipindahkan ke Hospital Guru Nanak dan meninggal dunia pada 9 Mei lepas.
Menurut Times of India, laporan kesihatan yang diperoleh menunjukkan Sonu didapati positif COVID-19 dan diberi rawatan, namun meninggal dunia.
Sehari selepas kematiannya, Kumar terpaksa mendukung mayat anaknya itu ke pusat pembakaran mayat selepas gagal mendapatkan perkhidmatan ambulans.

, , pic.twitter.com/zGSEMPj5ZC

— Sushant Sinha (@SushantBSinha) May 15, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sejak krisis COVID-19 di India semakin meruncing, perkhidmatan ambulans serta katil di hospital sukar diperoleh.
Rakaman video berkenaan turut mendapat perhatian Timbalan Pesuruhjaya Jalandhar, Ghansjyam Thori yang mengarahkan siasatan berhubung insiden berkenaan.
Namun dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas itu, Thori berkata pihak hospital menafikan kanak-kanak berkenaan meninggal dunia akibat COVID-19, sebaliknya akibat radang perut dan usus yang dialaminya, lapor The Hindustan Times.
Oleh itu, hospital tersebut tidak diwajibkan membantu keluarga itu mengendalikan mayat kanak-kanak tersebut.
Siasatan terperinci berkenaan insiden itu masih dijalankan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
#COVID-19 #mayat #bapa #dukung #anak #pusat pembakaran mayat #Ambulans #Hospital
;