COVID-19: G20 mahu 70% penduduk dunia divaksin menjelang pertengahan 2022
Astro Awani
Oktober 30, 2021 07:04 MYT
Oktober 30, 2021 07:04 MYT
ROM: Menteri Kewangan dan Kesihatan dari 20 ekonomi terbesar dunia (G20) akan mengambil tindakan bagi memastikan 70 peratus penduduk dunia mendapat vaksin COVID-19 menjelang pertengahan 2022.
Kumpulan G20 juga mewujudkan satu pasukan petugas khas untuk memerangi wabak di masa depan.
Pasukan petugas khas itu akan meneroka pilihan untuk menggerakkan dana dalam meningkatkan kesiapsiagaan, pencegahan dan tindak balas wabak.
Menteri G20 dalam kenyataan berkata, bagi mencapai matlamat vaksinasi sekurang-kurangya 40 peratus penduduk dunia menjelang akhir 2021 dan 70 peratus pada pertengahan 2022, pihaknya akan mengambil tindakan membantu meningkatkan bekalan vaksin dan produk perubatan penting serta input di negara membangun.
Matlamat sebelum ini adalah kadar vaksinasi penduduk dunia dicapai menjelang musim luruh pada tahun depan.
Kenyataan itu juga berkata, pasukan petugas bersama kewangan-kesihatan G20 ditubuhkan untuk meningkatkan dialog dan kerjasama global mengenai isu berkaitan pencegahan, kesediaan dan tindak balas wabak.
Ini termasuk pertukaran pengalaman dan amalan terbaik, membangunkan aturan penyelarasan antara kementerian kewangan dan kesihatan, menggalakkan tindakan kolektif, menilai dan menangani kecemasan kesihatan dengan impak rentas sempadan serta menggalakkan pengawasan sumber yang berkesan.
Para menteri berkata mereka menubuhkan badan baharu itu kerana pandemik COVID-19 telah mendedahkan kelemahan ketara dalam keupayaan dunia untuk menyelaraskan tindak balasnya.
Mereka berjanji untuk menyokong "semua usaha kolaboratif" untuk menyediakan akses kepada vaksin, rawatan, diagnostik dan peralatan perlindungan diri yang selamat, berpatutan, berkualiti dan berkesan, terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Untuk mencapai matlamat vaksinasi, mereka akan berusaha untuk meningkatkan bekalan vaksin dan produk perubatan penting dan input di negara membangun, sambil menghapuskan kekangan pada bekalan dan pembiayaan.
Para menteri juga menyeru untuk meningkatkan daya tahan rantaian bekalan melalui hab pemindahan teknologi sukarela, seperti hab MRNA yang baharu ditubuhkan di Afrika Selatan, Argentina dan Brazil, dan melalui perjanjian pengeluaran dan pemprosesan bersama.
Seruan untuk pemindahan teknologi MRNA secara sukarela bermakna perbincangan mengenai idea mengenepikan sementara hak harta intelek terhadap vaksin dan terapi COVID-19 kekal terperangkap di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)