COVID-19: FDA tangguh pemberian vaksin Pfizer untuk kanak-kanak bawah 5 tahun

Astro Awani
Februari 12, 2022 10:23 MYT
Keputusan Amerika Syarikat untuk memberikan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech kepada kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 4 tahun telah ditangguhkan sekurang-kurangnya dua bulan. -Reuters
SILVER SPRING: Amerika Syarikat menangguhkan keputusan pemberian vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 4 tahun sekurang-kurangnya untuk tempoh dua bulan.
Ini selepas pentadbiran makanan dan ubat-ubatan (FDA) menyatakan ia memerlukan lebih banyak data.
FDA merancang untuk membuat keputusan mengenai vaksin kumpulan itu berdasarkan data percubaan awal akibat lonjakan jangkitan disebabkan oleh varian Omicron.
Keputusan itu dijadualkan minggu depan dengan pelancaran bermula seawal 21 Februari
Bagaimanapun pada Jumaat, agensi itu berkata ia telah menyemak maklumat ujian klinikal baharu dan memutuskan ia memerlukan lebih banyak data sebelum bergerak ke hadapan.
FDA berkata ibu bapa kepada kira-kira 18 juta kanak-kanak dalam kumpulan umur itu harus diyakinkan bahawa agensi itu melakukan yang terbaik untuk memastikan standard yang telah ditetapkan untuk kebenaran.
Pengarah Pusat Penilaian dan Penyelidikan Biologi FDA, Dr Peter Marks berkata, jika sesuatu tidak memenuhi piawaian itu, pihaknya tidak boleh meneruskan keputusan tersebut.
Pfizer-BioNTech telah menyerahkan data mengenai dua dos pertama yang dirancang sebagai rejimen tiga dos untuk kumpulan umur itu awal bulan ini atas permintaan FDA.
Kedua-dua syarikat pembuat vaksin itu tidak mendedahkan data keberkesanan.
Kelewatan itu mungkin mengecewakan ibu bapa kanak-kanak yang lebih muda yang terpaksa berhadapan dengan kuarantin dan penutupan prasekolah dan pusat jagaan harian.
#tangguh #vaksin kanak-kanak bawah 5 tahun #Amerika Syarikat #FDA
;