COVID-19: EU syor individu 60 tahun ke atas ambil dos penggalak kedua
Astro Awani
Julai 12, 2022 09:00 MYT
Julai 12, 2022 09:00 MYT
BRUSSELS: Agensi Kesihatan Kesatuan Eropah (EU) mengesyorkan dos penggalak COVID-19 kedua kepada individu berusia lebih 60 tahun serta mereka yang mempunyai komorbid.
Saranan itu dibuat ditengah-tengah kebimbangan peningkatan jangkitan dan kemasukan ke hospital di seluruh Eropah.
Walaupun vaksin koronavirus sedia ada terus memberikan perlindungan yang baik daripada kemasukan ke hospital dan kematian namun keberkesanan vaksin telah terjejas apabila virus itu berkembang.
Agensi Kesihatan EU pada April mengesyorkan dos penggalak kedua hanya untuk mereka yang berumur lebih daripada 80 tahun dan yang paling berisiko.
Pengesyoran baharu itu dijangka memudahkan keputusan negara untuk mempercepatkan kempen vaksinasi yang semakin perlahan sehingga hampir terhenti sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC), Andrea Ammon berkata, pada masa ini, pihaknya melihat peningkatan kadar kes COVID-19 dan trend peningkatan dalam kemasukan hospital dan ICU di beberapa negara didorong oleh sub-varian Omicron BA.5.
Jelasnya ini menandakan permulaan gelombang baharu COVID-19 di seluruh Kesatuan Eropah.
Pembuat vaksin seperti Moderna dan Pfizer-BioNTech sedang mengkaji vaksin COVID-19 yang diubah suai untuk memerangi sub-varian Omicron.
Agensi Ubat Eropah (EMA) menjangkakan untuk mendapat vaksin generasi seterusnya yang pertama diluluskan menjelang September.